Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh (gambar) berharap sentuhan jurulatih baru Jeremy Hunt mampu melonjakkan persembahannya tahun depan.

Pakar pecut berusia 28 tahun itu menjadi taruhan utama negara untuk meraih keputusan positif di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Februari selain Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos.

“Sememangnya pengalaman dimilikinya diperlukan bagi membimbing kami. Banyak kejayaan dilakukannya ketika membimbing Synergy Baku Cycling Project tahun ini.

“Malah jika dilihat latar belakangnya, beliau bekas pelumba profesional berkelas dunia. Kami mengagumi dan menghormati kejayaan dicapainya sebagai pelumba,” kata pemenang dua emas Sukan SEA Singapura itu.

TSG melantik bekas pelumba Team Sky itu untuk mengendalikan pasukan dari Terengganu berkenaan bagi menggantikan Adam Szabo dengan barisan pelumba akan terbang ke Melbourne selama sebulan setengah bagi menjalani latihan.

“Sudah pasti fokus 100 peratus akan diberikan di Melbourne bagi persediaan menghadapi LTdL dan Sukan SEA. Terdapat banyak perlumbaan berlangsung di situ yang mampu membantu kami.

“Sejak awal jurulatih sudah menghantar program latihan kepada kami untuk dilaksanakan, jadi saya fikir masalah keserasian tidak akan timbul,” katanya.

Seramai 12 pelumba TSG termasuk enam yang berada dalam program Kita Juara akan menjalani latihan dari 2 Januari hingga 14 Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 8:42 AM