SUSPEK ditahan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK ditahan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. FOTO ihsan pembaca
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Sepasang kekasih ditahan selepas terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Malim Jaya, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, pasangan berkenaan yang berusia 20 dan 21 tahun berkenaan dikatakan terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) berhampiran kawasan Malim sebelum cuba melarikan diri sejauh kira-kira dua kilometer.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, kejadian berlaku selepas lelaki berkenaan enggan memberikan kerjasama ketika anggotanya mahu melakukan pemeriksaan selepas curiga dengan kehadiran kereta terbabit.

Katanya, lelaki itu yang awalnya memberhentikan keretanya berhampiran stesen minyak Jalan Tun Perak kemudian melarikan diri sebaik anggota MPV berjalan ke kereta dinaiki pasangan terbabit.

"Lelaki itu bertindak memecut keretanya sebelum dikejar MPV polis, bagaimanapun ketika melarikan diri dia terbabas sebelum melanggar sebuah kereta.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati lelaki berkenaan cuba melarikan diri kerana takut disaman serta keretanya disita kerana becermin gelap," katanya.

Katanya, kedua-duanya yang ditahan kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan selain kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:10 PM