GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Nibong Tebal: Polis melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta Proton Perdana selepas pemandu kereta itu melanggar anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa di Taman Gamelan Indah, Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Lee Chong Chern berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua lelaki berusia 36 dan 43 tahun di depan rumah kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

"Tiba-tiba lelaki berumur 43 tahun itu bertindak meluru masuk ke dalam kereta Proton Perdananya untuk melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan tersebut dalam keadaan laju serta melanggar seorang daripada anggota polis berpangkat Lans Koperal dan motosikalnya manakala rakannya ditinggalkan di situ.

"Seorang lagi anggota polis bertindak melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta dipandu lelaki itu untuk mempertahankan diri kerana bimbang dia bertindak lebih agresif, suspek terus memecut laju sebelum berjaya melarikan diri dengan keretanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata anggota polis itu telah meminta bantuan kereta peronda polis (MPV) dan ketika MPV mengejar kenderaan itu, suspek melanggar kereta Proton Wira di Jalan Sungai Kechil, di sini sebelum keretanya terbabas.

Lee berkata, lelaki itu berjaya ditahan dan pemeriksaan polis menemukan satu peket kecil dadah disyaki methamphetamine yang dibuang suspek di luar keretanya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, polis percaya suspek melarikan diri bagi mengelak ditahan kerana dia mempunyai 13 rekod lampau berkaitan jenayah serta narkotik memiliki dadah.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan lapan kelongsong peluru yang dilepaskan ke arah kenderaan suspek dan polis turut menahan rakan suspek bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.

Lee berkata, anggota polis berusia 58 tahun yang cedera dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut dan dia mengalami kecederaan pada siku, jari tangan serta sakit belakang manakala motosikalnya rosak di bahagian hadapan dan lampu belakang.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 5:41 PM