ANGGOTA polis melihat kereta Perodua Kancil ditarik pekerja trak tunda selepas terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Malim, Melaka, hari ini. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA polis melihat kereta Perodua Kancil ditarik pekerja trak tunda selepas terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Malim, Melaka, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hilmie Hussin


DIKEJAR sejauh dua kilometer sebelum kereta terjunam ke dalam sungai.

Itu adegan membabitkan kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki dipercayai penagih dadah dengan Unit Kereta Peronda (MPV) polis apabila kereta dipandu suspek berusia 28 tahun itu terbabas masuk ke dalam Sungai Malim, Melaka, 11.30 pagi hari ini.

Suspek memandu kereta bersendirian dan berhenti di tepi Jalan IKS 5, Taman Merdeka, Batu Berendam, sebelum memecut kereta sebaik melihat MPV polis menghampiri dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, melihat tindakan terburu-buru suspek, anggotanya yang melakukan rondaan jenayah segera mengejar sejauh kira-kira dua kilometer.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian (berhampiran Sungai Malim), suspek melompat keluar dari keretanya lalu kenderaan itu terbabas dan masuk ke dalam sungai.

"Anggota polis menahan suspek dan siasatan awal mendapati, dia tidak memiliki rekod jenayah, namun mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun ditahan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

"Kita bawa suspek ke balai untuk membantu siasatan dan menjalani ujian air kencing.

"Suspek dipercayai baru mengambil dadah susulan penemuan peralatan menghisap dadah jenis syabu ditemui di dalam keretanya," katanya.

Polis kemudian menggunakan trak penunda untuk mengeluarkan kereta suspek yang tersangkut dalam rumput di Sungai Malim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 5:48 PM