Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Dendam berbalas dan mara ke separuh akhir.

Pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berhempas-pulas pada suku akhir Terbuka India sebelum mereka menyingkirkan wakil Denmark Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding.

V Shem-Wee Kiong mengambil hampir sejam untuk mengalahkan pilihan keempat kejohanan itu, sebelum menang 19-21, 21-16, 21-13 di Kompleks Sukan Siri Fort.

Menurut V Shem, kebangkitan mereka bermula pada set kedua selepas mendapat rentak untuk mengalahkan jaguh Eropah itu selepas gagal berbuat demikian pada set pertama.

“Bermula set kedua kami mendapat rentak dan kembali menguasai perlawanan. Paling penting melakukan pukulan lebih mendatar, berbanding tinggi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Dalam masa sama, V Shem berasa puas kerana akhirnya mereka membalas dendam terhadap kekalahan pusingan kedua Seluruh England tahun lalu dengan ketika itu mereka tumpas 15-21, 13-21.

“Saya berasa puas kerana kemenangan ini mampu menjadi motivasi buat kami untuk aksi separuh akhir esok (hari ini). Kesukaran yang kami hadapi untuk aksi suku akhir ini tidak akan menjejaskan tahap kecergasan kami.

“Kami rasa masih cergas dan bersemangat dan pada masa sama tidak fikir mengenai pemain lawan,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Kecemerlangan V Shem
-Wee Kiong itu mengulangi prestasi mereka ketika Seluruh England bulan lalu apabila mara ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 13-21, 15-21.

Hari ini mereka akan berdepan pasangan Indonesia Gideon markus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:08 AM