AKSI V Shem (kanan) dan Wee Kiong  ketika menentang pasangan Hong Kong, semalam.
AKSI V Shem (kanan) dan Wee Kiong ketika menentang pasangan Hong Kong, semalam.
Ferzalfie Fauzi

Kuching: Makan diri. Keinginan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberikan aksi cemerlang di depan penyokong sendiri di pusingan pertama, Terbuka Malaysia tidak menjadi apabila tumpas kepada Or Chin Chung-Tan Chun Man dari Hong Kong semalam.

Mereka yang diletakkan pilihan utama dan pernah meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016 kalah straight set 17-21, 21-23 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

“Hari ini (semalam) kami memang tidak memberikan aksi terbaik. Kami terlalu mahu memberikan aksi cemerlang tapi lambat bertindak balas di dalam gelanggang. Pada set kedua kami cuba bangkit namun sudah terlewat,” kata Wee Kiong dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Jelasnya, semuanya kesilapan diri mereka sendiri kerana kemahuan tinggi dan sentiasa mahu memberikan aksi luar biasa di depan penyokong namun sebaliknya yang berlaku.

V Shem pula mengakui kekalahan itu bukan disebabkan mereka tertekan beraksi di depan ribuan penonton tetapi kerana tidak dapat mengawal permainan dengan baik pada set pertama.

“Ketika memasuki set kedua kami bertambah tertekan dan terlalu mahu mengalahkan mereka, sedangkan pasangan Hong Kong menjadi bertambah yakin selepas dapat membalas pukulan kami dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, kekecewaan mereka ditebus dua lagi pasangan lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen apabila kedua-duanya mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing semalam.

Paling cemerlang Yew Sin-Ee Yi apabila menumpaskan pilihan keenam dari Denmark Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding 21-19, 16-21, 21-10 dan mereka akan berdepan Fu Haifeng-Zheng Siwei (China) di pusingan kedua hari ini.

Fu Haifeng-Zheng Siwei mara selepas menundukkan gandingan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 22-20, 17-21, 21-14.

Sementara itu, Kah Ming-Juan Shen tidak berdepan masalah menumpaskan Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan 22-20, 21-16 dalam perlawanan berlangsung 37 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:20 AM