Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kepenatan bagaikan tidak ada dalam kamus Datuk Lee Chong Wei ketika ini apabila sekali lagi mengalahkan pemain nombor satu dunia, Chen Long dalam perlawanan suku akhir Siri Super Terbuka Hong Kong semalam.

Sebelum ini, memang ramai yang risau mengenai faktor kecergasan Chong Wei yang terpaksa mengharungi dua kejohanan berturut-turut namun semalam dia sekali lagi menang 13-21, 21-19, 21-15 dalam masa 85 minit.

Tumpas set pertama memang sedikit merisaukan peminat badminton negara semalam, begitu juga ketika ketinggalan 13-18 namun bekas pemain nombor satu dunia itu bangkit dengan beberapa pukulan di garisan tepi dan belakang untuk mengheret perlawanan ke rubber set.

Set ketiga ternyata milik pemain nombor enam dunia itu apabila selesa mendahului 19-13 dengan tidak melakukan kesilapan bagi mencatat kemenangan kedua berturut-turut ke atas Chen Long dalam tempoh seminggu selepas menewaskan jaguh China itu di final Terbuka Perancis.

Menanti Chong Wei di separuh akhir nanti pemain tuan rumah, Ng Ka Long yang sebelum itu menumpaskan pilihan kelima dari Taiwan Chou Tien Chen 21-17, 15-21, 21-15.

Kemenangan Chong Wei ke atas Chen Long semalam menyaksikan dia semakin hampir untuk menyamakan rekod pertemuan apabila sekarang ini masih ketinggalan 11-12.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock berkata, Chong Wei bermain seperti biasa semalam tanpa sebarang teknik rahsia cuma pada set pertama anak buahnya itu jelas sekali melakukan banyak kesilapan.

“Set pertama memang dia banyak melakukan kesilapan kerana bermain dengan sangat berhati-hati,” katanya.

Jelasnya, dengan usia Chong Wei yang menjangkau 33 tahun, anak buahnya itu agak kepenatan terutama pada minggu lalu berdepan Lin Dan (separuh akhir) dan Chen Long (akhir) di Terbuka China.

“Bercakap mengenai kecergasan memang dia agak keletihan. Usianya sudah 33 tahun tapi saya tengok dia tidak berputus asa dan sudah tentu akan memberikan fokus sepenuhnya untuk perlawanan esok (hari ini),” kata Seu Bock.

Chong Wei sebelum ini pernah tiga kali meraih kejuaraan Terbuka Hong Kong pada 2009, 2010 dan 2013.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mara ke separuh akhir apabila tumpas kepada pilihan keenam dari China Chai Biao-Hong Wei 15-21, 12-21 dalam perlawanan berlangsung 34 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:30 AM