Hajahfarhana Tarmudi


Memiliki wajah yang cantik, bergaya menarik dan mesra, antara kriteria untuk bergelar ratu cantik serta model impian ramai. Namun berbeza bagi Jayarubini Sambanthan Muthaliyar, 24, yang tidak mahu terlalu bergantung kepada ciri berkenaan semata-mata.

Sebaliknya, dia lebih berbangga jika ratu cantik itu mempunyai kebijaksanaan selain wajah yang cantik, bergaya dan mesra. Sememangnya, Jayarubini mempunyai wajah yang manis dan sempurna disebabkan darah campuran antara India (bapa) dan Nepal (ibu).

Pada masa sama, ketinggian yang dimilikinya iaitu 175 sentimeter memberi kelebihan kepada dirinya untuk bekerja dalam industri penuh glamor itu. Gadis petah berbicara dan gemar ketawa ini berjaya merebut tempat pertama dalam Miss Tourism Sri Lanka International 2016, baru-baru ini.

“Perspektif mengenai ratu cantik pada masa kini sudah banyak berubah dan ia tidak tertakluk kepada kesempurnaan wajah serta bentuk tubuh saja.

“Malah, kebijaksanaan juga sangat penting untuk menjadi ratu cantik yang terbaik. Bagi saya, kecantikan dan kebijaksanaan perlu ada pada setiap ratu cantik untuk menjadikan mereka tampak berbeza dengan peserta lain,” katanya.

Disebabkan memiliki kebijaksaan itu, Jayarubini dikenali dengan jawapan bernas dan tegas yang dilontarkan pada setiap soalan daripada hakim pertandingan.

Justeru, bagi memastikan dirinya sentiasa berada di depan, dia perlu mengambil tahu mengenai isu semasa dan pengetahuan am. Ini termasuk kejadian yang berlaku di negara sendiri dan isu membabitkan wanita.

Mengimbas kembali zaman kecilnya, dia begitu berminat dengan gaya komunikasi yang ditunjukkan oleh hos rancangan di televisyen.

Malah, sejak di bangku sekolah lagi dia sudah mempunyai keberanian dan bakat berkomunikasi untuk menonjolkan diri di depan rakan serta guru di dalam kelas.

Bermula saat itu, dia sedar mengenai minatnya itu. Baginya, pertandingan ratu cantik membolehkan dirinya untuk mengejar impian yang diidamkan sejak kecil selain bercita-cita memperkenalkan nama negara dengan cara yang lebih baik.

Hidup susah

Anak kedua daripada tiga beradik ini juga mempunyai pandangan tersendiri dalam mengejar gelaran sebagai ratu cantik.

Baginya, industri berkenaan seharusnya dijadikan platform untuk membawa suara wanita ke mata dunia sekali gus diangkat sebagai idola kepada golongan Hawa yang senasib dengan dirinya.

“Saya tidak mengejar kemenangan dan glamor semata-mata, namun menjadikan platform sebagai ratu cantik untuk terus membantu golongan memerlukan.

“Saya percaya, pertandingan ratu cantik adalah landasan untuk wanita mendekati masyarakat dan membantu mereka.

“Pada masa sama, melalui saluran ini juga wanita dapat melontar hujah atau pendirian seterusnya mengangkat martabat golongan itu ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Ujarnya, dia juga pernah melalui kehidupan yang susah satu ketika dulu. Masih dalam ingatan, dia perlu mencari duit dengan menjual aiskrim sejak usianya 15 tahun bagi membantu keluarga.

Tidak pernah menyalahkan sesiapa sebaliknya terus bangkit untuk mengubah taraf hidup dirinya dan juga keluarga.

“Saya tahu kesusahan yang dilalui golongan kurang berkemampuan kerana saya juga pernah melaluinya satu ketika dulu. Justeru, saya sangat gembira dan bangga jika dapat membantu golongan ini walaupun sumbangan yang diberikan bukanlah besar,” katanya.

Baginya, kemenangan dan nama yang dikenali pada hari ini tidak mengubah kepada sikap negatif atau personaliti dirinya sebaliknya ia membuatkan gadis ini tambah bersemangat untuk terus membantu.

Jayarubini percaya, dia tidak perlu sombong selepas berjaya mendapat gelaran diidam kerana dirinya masih sedar dengan asal usul keluarganya.

Harapannya, dia dapat menyertai badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan lebih aktif selepas tamat pengajian.

Pelajaran dan minat

Bagi mendapatkan kepercayaan daripada ibu dan bapanya, Jayarubini membawa mereka menghadiri sesi uji bakat model atau ratu cantik yang disertainya.

Ini bagi mendedahkan ibu bapanya mengenai dunia penuh glamor yang diceburinya agar mereka lebih memahami.

Bagi mendapatkan kepercayaan daripada ibu bapanya, dia juga sentiasa menjauhkan diri daripada aktiviti kurang bermoral seperti pergi ke kelab malam, minum alkohol ataupun merokok.

Dia akui perlu menghormati kepercayaan yang diberikan ibu bapanya dengan menjaga perlakuannya biarpun namanya sudah dikenali ramai.

Jayarubini yang berasal dari Kajang ini ialah pelajar tahun akhir jurusan perakaunan dan kewangan. Selain menyertai pertandingan ratu cantik, dia juga sibuk dengan kerjayanya sebagai model untuk majalah, jenama pakaian dan pereka fesyen ternama.

Pada masa sama, Jayarubini turut bertugas sebagai pembantu peribadi dan editor untuk jenama peragaan pakaian.

“Duit memang diperlukan, namun pelajaran juga sangat penting, Justeru, saya perlu memastikan kedua-duanya seimbang dan tidak menjejaskan satu sama lain.

“Bagi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran dan mendapat keputusan cemerlang, saya membaca buku di mana saja jika berkesempatan.

“Tidak mengira dalam pengangkutan awam mahupun di belakang pentas, saya pastikan membaca buku terutama jika musim peperiksaan semakin dekat,” katanya.

Jayarubini percaya pelajaran mampu mengubah nasib dirinya dan keluarga. Malah, ia juga boleh membantu di masa akan datang kerana dia yakin tidak akan selamanya kekal dalam industri yang diminatinya itu.

Terima kasih:

Pakaian: Ardana Haran (Hari Haran)

Solekan: Ayangkamell

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:35 AM