Basyar Mustapha berharap pembaca lebih memahami dan peka terhadap kemampuan golongan autisme kerana mereka sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri.

Mereka sering disalah anggap sebagai hiperaktif, tidak pandai bergaul dan suka menyendiri. Malah, ada yang memandang rendah terhadap kemampuan golongan ini. Itu nasib kebanyakan individu autisme.

Autisme bukan satu penyakit namun ia kecelaruan dalam perkembangan neurologi yang mempengaruhi otak. Dari segi fizikal mereka sempurna seperti individu lain. Gangguan pada otak ini mempengaruhi kemampuan seseorang berkomunikasi, menjalin hubungan dengan orang lain dan bertindak balas terhadap dunia luar dengan baik.

Mereka yang mengalaminya dipanggil individu autistik yang punya kecenderungan mengulangi perbuatan kegemaran mereka dan mempunyai pola berfikir yang kaku.

Perkara ini membuatkan mereka seperti kurang upaya di mata orang lain walhal mereka hanya dilahirkan berlainan. Sudahlah nasib tidak menyebelahi mereka, malah dipandang serong dan diketepikan pula masyarakat hanya kerana kelainan mereka. Maka waktu remaja dan muda mereka sering bersendirian dan tidak ceria seperti rakan sebaya mereka.

Namun, dengan sokongan dan kasih sayang penuh keluarga serta masyarakat sekeliling yang memahami, beberapa belia autisme kini mampu keluar dari kepompong yang dicipta masyarakat.

Gen Y kali ini menunjukkan beberapa contoh belia autistik yang boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang senasib dan ia mengubah persepsi lapuk kita terhadap mereka.

Matt Savage

Remaja lelaki berusia 22 tahun dari Amerika Syarikat ini disahkan autisme pada umur tiga tahun. Namun, ibu bapanya yang tidak pernah putus asa memberikannya pelajaran.

Ketika kecil dia tidak sukakan bunyi dan sering menutup telinga jika mendengar muzik dan bunyi yang tidak biasa didengar.

Namun, pada usia enam tahun dia berminat belajar bermain piano dan selepas beberapa bulan dia mahir menggunakan alat muzik itu.

Keluarga remaja ini kemudian sedar yang Savage sukakan muzik jazz. Bakatnya mula dikenali dan kini dia menghasilkan sembilan album instrumental jazz dan menjadi komposer.

Setengah hasil jualan albumnya juga disumbangkan untuk badan amal bagi membantu golongan autisme. Savage juga dianugerahkan pingat berprestij muzik Jazz dan satu-satunya pemain piano muda yang diiktiraf sebagai profesional.

Alexis Wineman

Gadis yang kini seorang ratu cantik yang membesar dengan sikap suka menyendiri dan tidak sukakan pergaulan kerana dianggap lembab oleh rakan selain sering dibuli. Ibu bapanya hanya menganggap dia antisoial dan pemalu sehingga dia disahkan mengalami autisme pada umur 11 tahun.

Keluarganya Alexis Wineman, 22, kemudian menerangkan kepadanya mengenai keadaan dirinya dan sejak itu dia mula memahami diri sendiri dan mempunyai kekuatan serta berkeyakinan bergaul. Dia kemudian mula aktif di sekolah.

Walaupun bukan seorang yang suka melawa atau ingin sentiasa kelihatan cantik, Wineman menerima cadangan keluarga dan rakan untuk memasuki pertandingan ratu cantik Miss America mewakili negeri Montana pada 2012 dan menjadi individu autistik pertama menyertainya.

Walaupun tidak menang dia dipilih sebagai pemenang ‘America’s Choice’.

Wineman kini aktif muncul di televisyen dan akhbar bagi memperjuangkan nasib dan kesamarataan untuk individu autistik.

Jason McElwain

Kecenderungan individu autistik untuk mengulangi sesuatu aktiviti atau perbuatan menjadi kelebihan pada Jason McElwain, 26, dari New York, Amerika Syarikat.

McElwin menjadi berita utama apabila menjadi remaja autistik yang berjaya menjadi pemain bola keranjang peringkat negeri. Kebolehannya mula menjadi lebih baik apabila dia sering mengulangi latihan sehingga berpuas hati dengan jaringannya.

McElwain juga hebat dalam sukan marathon dan pandai berucap dalam syarahan. Selain aktiviti sukan, dia sering menjelajah seluruh dunia untuk memberi motivasi kepada kanak-kanak dan remaja autistik serta keluarga mereka. Belia istimewa ini juga menulis buku motivasi berjudul The Game of My Life.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 12:36 PM