BEKAS ratu cantik, Oanh Yen kini menjadi petani di Vietnam. FOTO Agensi
BEKAS ratu cantik, Oanh Yen kini menjadi petani di Vietnam. FOTO Agensi
Agensi

Hanoi: Bekas ratu cantik yang memenangi beberapa pertandingan seperti Miss Vietnam 2008, Miss Vietnam World 2010 dan Queen of Beauty World 2019 di Korea kini memilih hidup bersederhana bersama enam anaknya di kampung, sebagai petani.

Di Vietnam, nama Oanh Yen dikenali sebagai pemenang pelbagai pertandingan kecantikan berprestij.

Penampilannya kini sangat berubah dibandingkan ketika menjalani kehidupan glamor dalam dunia peragaan.

Portal Grid.ID melaporkan, baru-baru ini, tular foto figura itu yang masih mengekalkan bentuk badan serta kecantikan wajahnya, mencangkul tanah di kebun.

Mungkin tiada siapa pun pernah menyangka wanita yang sedang mencangkul itu adalah bekas ratu cantik.

Memilih tinggal di kampung, gaya ringkas bekas ratu cantik itu segera menjadi perhatian.

Wajah yang cantik dengan badan yang tinggi lampai membuatkan Oanh Yen amat dikagumi.

Berbakat dengan susuk tubuh yang hampir sempurna, Oanh Yen sering memenangi pertandingan ratu cantik.

Bentuk tulang muka yang meruncing dengan aura yang memancar membuatkan ramai terpukau apabila melihatnya.

Walaupun memegang gelaran ratu cantik antarabangsa, Oanh Yen jarang bercakap mengenai kehidupan peribadinya.

Malah, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu wanita awet muda itu sudah mempunyai enam orang anak.

Walaupun sudah enam kali mengandung dan bersalin, Oanh Yen masih mengekalkan bentuk badannya.

Potret keluarganya juga begitu harmoni dengan anak-anak yang cantik dan kacak.

Sudah lama tidak didengari, Oahn Yen kini semakin menjauh dari pentas dunia hiburan.

Dia menghabiskan masa bercucuk tanam selain menjaga anak-anaknya.

Warna kulitnya juga kelihatan lebih gelap berbanding sebelum ini kerana sering aktif di bawah terik matahari.

Penampilannya juga lebih ringkas, tidak glamor seperti kehidupannya ketika bergelar public figure.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 2:36 PM