Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Memiliki senyuman manis dan mudah mesra terhadap orang sekeliling biarpun baru pertama kali bersua, membuatkan Shangkharee Nadarajan, 24, disenangi ramai dan menjadi antara peserta kegemaran ketika menyertai pertandingan Miss Universe Malaysia 2014.

Terpilih sebagai finalis dalam kedudukan enam teratas pada pertandingan ratu cantik berprestij itu sudah cukup membuatkan namanya meniti di bibir peminat.

Bukan sekadar memiliki wajah cantik, wanita muda itu juga seorang yang bijak dan kini sedang mengikuti pengajian di tahun empat dalam bidang perubatan di kolej swasta terkenal, Allianze University College of Medical Sciences (ACMS), Pulau Pinang.

Dia juga pernah memenangi tempat ketiga pada Pencarian Dewi Remaja 2010 dan berpengalaman luas dalam menyertai banyak pertandingan yang menguji keyakinan diri.

Menurut wanita berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang itu, minat pada bidang peragaan sememangnya utuh dalam dirinya sejak kecil sehingga dia banyak menyertai pertandingan seumpamanya bagi menimba sebanyak mungkin pengalaman yang boleh memajukan dirinya.

Malah, kata Shangkharee, pada asalnya dia seorang yang agak gempal tetapi sanggup berusaha keras menurunkan berat badan sehingga 25 kilogram (kg) kerana mahu memperbaiki penampilan diri, menjadi lebih sihat dan mampu bersaing dalam pertandingan peragaan termasuk menyertai Miss Universe Malaysia 2014.

Dalam dua bulan pertama usahanya itu, dia berjaya menurunkan berat sebanyak 15kg hasil disiplin tinggi menjaga pemakanan dan bersenam selama dua jam di gimnasium setiap hari.

Menurut Shangkharee, sifat dirinya yang tidak berputus asa mengejar impian, berusaha mencapai matlamat, mahu yang terbaik dan percaya bahawa apa saja yang dilakukan perlu dibuat sebaik mungkin membuka banyak lembaran baru dalam hidupnya.

"Saya banyak mendapat tugasan peragaan secara sambilan dan jangan terkejut kerana saya juga sudah banyak kali diambil sebagai model hijab.

Apabila dapat menyarung hijab, saya mampu rasakan suatu kebebasan dan saya sangat menghormati perasaan itu.

"Selain menjadi model, saya juga mengambil tugasan sebagai hos televisyen dan deejay dalam talian kerana sifat semula jadi saya yang sangat suka bercakap hingga kadangkala tanpa henti. Bidang pengacaraan sememangnya menarik perhatian saya tanpa mengira jenis rancangan, semua saya suka," katanya.

Apa yang mengejutkan Shangkharee adalah apabila dia mengetahui mempunyai ramai peminat dalam kalangan orang Melayu, kemungkinan besar kerana pernah berlakon dalam drama tempatan.

Baru-baru ini pula dia ditawarkan watak jahat dalam sebuah telefilem dan kini sedang giat meluaskan bakat di dalam industri filem Tamil tempatan.

Sanggup berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan pelajaran dan tuntutan kerjaya, dia berkata ibu bapanya memberi dorongan penuh dan inspirasi kepadanya untuk mencapai potensi terbaik dalam hidup.

"Datuk saya juga banyak memberikan kata-kata semangat dan galakan kepada saya untuk berjaya dalam semua bidang baik pelajaran mahupun seni," katanya yang teruja diundang menjadi hos 8TV Quickie sempena segmen istimewa perayaan Deepavali tahun ini.

Biarpun mempunyai minat dalam bidang peragaan, ia tidak sedikit pun menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran, malah memasang cita-cita besar bergelar seorang doktor.

Katanya, sebaik tamat pengajian, dia mahu mengambil bahagian dalam misi perubatan di beberapa negara mundur bagi menjalankan khidmat masyarakat untuk membantu golongan susah.

"Ketika ini juga saya sudah mula aktif dalam kerja kemasyarakatan dengan terbabit dalam acara komuniti seperti menyampaikan bantuan makanan kepada golongan gelandangan dan menghabiskan masa bersama anak yatim untuk menghiburkan mereka.

"Apabila membuat orang rasa gembira, secara tidak langsung saya juga berasa gembira. Selain mendermakan wang atau barang, kadangkala sekadar meluangkan masa untuk anak-anak yatim juga mampu membuatkan hidup mereka lebih ceria," katanya yang mahu mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, ada juga sesetengah orang yang tidak memahami mengapa dia mahu bersusah-payah memasuki pertandingan atau bekerja keras menjadi model sedangkan dia mampu mendapat gaji besar dan hidup selesa sebagai doktor.

"Saya lakukan semua ini kerana minat yang mendalam pada dunia peragaan dan hiburan. Saya suka beraksi di hadapan kamera.

"Malah saya sudah menerima tiga tawaran berlakon dari Bollywood tetapi buat masa ini mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran," katanya.

Nasihatnya kepada gadis muda yang ingin mencapai impian masing-masing, mereka perlu tahu prinsip hidup sendiri dan tidak gentar mengejar cita-cita selagi ia memberi kebaikan kepada diri dan orang sekeliling.

Menurutnya lagi, apa saja impian boleh dicapai tetapi usaha yang dijalankan perlu bersungguh-sungguh, konsisten dan tidak berputus asa biarpun ada banyak cabaran yang menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:09 AM