INGATAN kepada ibu bapa untuk elak kesan babit skil kehidupan, personaliti anak dalam jangka panjang.
INGATAN kepada ibu bapa untuk elak kesan babit skil kehidupan, personaliti anak dalam jangka panjang.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kanak-kanak dan gajet ketika ini memang tidak dapat dipisahkan. Bagaikan satu keperluan, ibu bapa moden mudah membelikan gajet terkini untuk si kecil atas alasan enggan melihat anak meragam sepanjang hari.

Kecanggihan teknologi tidak dinafikan memberi kebaikan dalam kehidupan manusia dan memudahkan urusan seharian terutama dalam perihal komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Namun tidak semestinya yang baik untuk golongan dewasa itu sesuai untuk kanak-kanak terutama sepanjang tempoh pembesarannya.

Sebahagian ibu bapa bimbang sekiranya teknologi melalaikan anak mereka membazirkan masa, malah lebih teruk merosakkan minda anak mereka.

Bagaimanapun, ada juga yang menganggap pendedahan awal terhadap teknologi boleh membuatkan si kecil celik IT, menambah pengetahuan am, menajamkan IQ seterusnya membantu pembelajaran di sekolah.

Bagi penulis buku The Mindful Mom merangkap salah seorang penggiat program Tours for Tots, program seni untuk kanak-kanak, Michelle Lim-Chua, membiasakan penggunaan gajet kepada kanak-kanak dikenal pasti hanya mendatang­kan kemudaratan.

“Berdasarkan banyak kajian kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak yang dilakukan pelbagai institusi serta organisasi antarabangsa ketika ini, memberi gajet kepada kanak-kanak mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

“Keadaan yang sama juga apabila ibu bapa terlalu memberi perhatian kepada gajet terutama telefon pintar berbanding tumpuan kepada kanak-kanak.

“Kata kuncinya ialah bersederhana. Sebagai ibu bapa, kita perlu menimbang setiap perkara dan jangan mengang­gap sesetengah perkara itu remeh.

“Kesannya mungkin tidak dilihat ketika ini tetapi ia bersifat jangka masa panjang terutama membabitkan skil kehidupan dan personaliti kanak-kanak,” katanya.

Sehari tanpa gajet

Michelle sendiri me­ngakui ‘hantu’ gajet khususnya telefon pintar dan tidak boleh berenggang walaupun beberapa minit dengan telefonnya itu.

Semuanya berubah apabila dia menyahut cabaran satu hari bebas gajet dalam seminggu yang dilakukannya baru-baru ini.

“Sudah tiba masanya ibu bapa menilai semula hubungan mereka dengan teknologi. Gajet kini mula mencuri masa, tumpuan dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa.

“Saya sendiri bagaikan terikat dengan telefon pintar. Sentiasa merujuk e-mel, membalas komen di media sosial dan mengambil tahu isu terkini secara dalam talian.

“Lama-kelamaan ia membuatkan hubungan saya dan anak sedikit terjejas. Cabaran sehari bebas gajet sememangnya membuka minda saya untuk memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya.

“Ia bermula sebagai eksperimen tetapi kini saya terbiasa jika seharian tidak melihat telefon.

“Tidak bermakna saya memutuskan hubungan dengan teknologi tetapi saya belajar untuk menggunakan teknologi pada kadar berpatutan,” ujarnya.

Michelle tiada masalah bertahan pada waktu pagi ketika eksperimen itu berlangsung.

Namun menjelang tengah hari, dia mula resah memikirkan mengenai e-mel, komen di Instagram, perkembangan terkini di media dalam talian dan sebagainya.

“Saya berusaha ketepikan keresahan itu dengan merancang aktiviti bersama anak. Paling menakjubkan apabila saya tidak lagi terfikir mengenai telefon pintar atau perkara berkaitan dengannya selepas makan tengah hari bersama keluarga.

“Saya berjaya menghabiskan masa seharian tanpa telefon dan saya dapati tiada apa pun yang membuatkan saya berasa rugi jika tertinggal gosip hangat di Internet.

“Apa yang saya lihat ialah impak positif hubungan bersama anak dan keluarga. Saya kemudian mengamalkan sehari tanpa gajet ini beberapa kali dalam seminggu.

“Caranya, letakkan telefon dalam beg dan disimpan di bilik lain. Jangan letakkan telefon di tempat yang mudah dilihat atau mudah dicapai.

“Dengan cara ini keinginan untuk melayan gajet juga akan berkurangan hingga akhirnya kita tidak lagi kisah dengan apa yang berlaku di media sosial,” katanya.

Bagi mengisi ‘kekosongan’ atau ketagihan itu, Michelle mengesyorkan ibu bapa merancang pelbagai aktiviti dalam atau luar rumah.

Membaca, melukis, berkebun malah menonton filem kartun di televisyen antara perkara mudah yang boleh dilakukan.

Selain itu, bawa si kecil meneroka dunia dengan aktiviti di luar rumah misalnya bercucuk tanam atau mencuba peralatan senaman di taman permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 9:54 AM