PENGGUNAAN teknologi bukan saja bersifat terus tetapi bersifat tidak langsung iaitu kesan daripada interaksi ibu bapa dengan anak yang terbatas.
PENGGUNAAN teknologi bukan saja bersifat terus tetapi bersifat tidak langsung iaitu kesan daripada interaksi ibu bapa dengan anak yang terbatas.
Siti Nadirah Hafidzin

Seiring peredaran masa, penggunaan telefon pintar menjadi antara perkara wajib kepada semua orang. Walaupun berkaitan soal tugas di pejabat, dalam tidak sedar penggunaan telefon pintar tanpa kawalan dalam kalangan orang dewasa boleh memberi kesan besar kepada si anak.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak Hazhari Ismail berkata, penggunaan telefon pintar tanpa had walaupun untuk menyemak e-mel atau menonton video dan melayari laman web tertentu mempunyai kebarangkalian menyumbang ke arah salah laku kanak-kanak.

Menurutnya, masalah yang sering terjadi apabila ibu bapa atau penjaga kerap mengawal tempoh penggunaan telefon bimbit atau pintar anak, namun dalam tak sedar tidak mengawal penggunaan diri sendiri sehingga menyebabkan kurang waktu berinteraksi dengan mereka.

“Apa perasaan anda (ibu bapa) jika bercakap dengan seseorang, tetapi tidak dilayan? Tentu akan berasa geram dan marah.

“Begitu juga dengan kanak-kanak cuma mereka belum pandai meluahkan rasa geram seperti golongan dewasa. Oleh itu, mereka melepaskan rasa geram dengan menunjukkan ragam atau tingkah laku berlebih-lebihan,” katanya.

HAZHARI
HAZHARI

Hazhari berkata, menurut Prof Brandon dari Illinois, berdasarkan kajiannya, penggunaan teknologi bukan saja bersifat terus seperti kesan kanak-kanak yang menggunakan gajet tetapi juga bersifat tidak langsung iaitu kesan daripada interaksi ibu bapa dengan anak yang terbatas.

“Ini berlaku disebabkan penggunaan teknologi yang berlebihan dan tidak terkawal. Apabila di meja makan, si ayah sibuk melihat e-mel kerja atau melayari Internet dan apabila di menemani si kecil di taman permainan, si ibu pula asyik meninjau laman beli-belah.

“Malah ketika menonton televisyen bersama anak, jari ibu bapa pantas melayari Facebook mencari gosip dan membelek gambar terkini,” katanya.

Telefon pintar vs anak

Menurut Hazhari, gangguan penggunaan teknologi pada hakikatnya sudah lama wujud sejak adanya televisyen namun ia masih boleh dikawal berbanding telefon pintar yang bersifat ‘satu unit satu individu.’

“Setiap minit kita akan rasa ada saja pesanan baru yang masuk di aplikasi WhatsApp yang menyebabkan kita tanpa sedar bergantung kepada telefon pintar. Ramai orang akan jadi resah gelisah jika terpaksa berjauhan dengan telefon pintar yang dirasakan amat penting.

“Senario itu mengakibatkan perhatian penuh yang sepatutnya diberikan kepada anak terganggu disebabkan ketaasuban ibu bapa dengan telefon pintar masing-masing. Telefon pintar tidak akan terjejas jika anda tidak berikan perhatian padanya sedangkan anak akan rasa kehilangan, tidak disayangi dan dihargai,” katanya.

Menurutnya, dengan kata lain, senario ini mengganggu kualiti keibubapaan dan memberi impak yang negatif kepada tingkah laku anak.

PENGGUNAAN telefon pintar bukan saja perlu dikawal pada kanak-kanak malah golongan dewasa.
PENGGUNAAN telefon pintar bukan saja perlu dikawal pada kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Anak akan mengamuk jika keperluan tidak dipenuhi dan diabaikan. Jangan fikir dengan memberikan telefon pintar kepada anak dapat menyelesaikan masalah. Tanggapan itu ternyata salah kerana ia lebih memudaratkan.

“Keperluan anak bukan bersifat material semata-mata. Perhatian dan kasih sayang juga salah satu daripada keperluan asas ibu bapa kepada anak yang sangat penting,” ujarnya.

Katanya, dalam satu kajian luar negara, ‘Telefon Pintar dan Kecederaan Kanak-Kanak’ menunjukkan peningkatan kecederaan kanak-kanak di taman permainan tetap berlaku walaupun dengan kehadiran ibu bapa!

“Apabila diselidik, pengawasan ibu bapa adalah kurang dan mereka seolah-olah tidak endah ketika anak bermain. Perkara itu dikesan berlaku di Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Saya sedang mencari data mengenai perkara ini di Malaysia, cuma masih belum menemuinya,” katanya.

Menurut Hazhari, membawa anak ke taman permainan itu adalah satu langkah yang bagus namun apa yang memburukkan keadaan ialah kurangnya pengawasan kerana ibu bapa tidak memerhatikan anak dan sibuk melayari Internet menggunakan telefon pintar masing-masing.

“Lebih teruk, mereka langsung tidak ada rasa bersalah! Saya teringat iklan Petronas pada 2007 mengenai pertanyaan si anak kepada bapanya, ini burung apa? Si ayah tidak letih menjawab “Burung murai” walau ditanya berulang-kali.

“Mungkin pada hari ini iklan itu tidak lagi relevan kerana si ibu dan ayah akan meninggalkan anak di dalam keadaan terpinga-pinga. Syabas kepada ibu bapa yang menunjukkan teladan baik kepada anak dan diharap lebih ramai mencari ilmu keibubapaan moden tanpa melupakan ajaran Rasulullah SAW yang relevan sepanjang zaman,” ujarnya.

BANYAKKAN berinteraksi dengan anak.
BANYAKKAN berinteraksi dengan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 3:08 PM