ANGGOTA tentera Russia menyambut kepulangan rakan mereka yang juga juruterbang selepas tiba dari Syria di Primorsko-Akhtarsk.
ANGGOTA tentera Russia menyambut kepulangan rakan mereka yang juga juruterbang selepas tiba dari Syria di Primorsko-Akhtarsk.
Reuters

Moscow: Presiden Russia, Vladimir Putin semalam mengumumkan misi negaranya ke Syria sebagai satu kejayaan.

Dia juga menegaskan Moscow akan terus menyokong kerajaan Syria dan berkata, tentera Russia mampu kembali ke Syria dalam tempoh beberapa jam sahaja jika perlu.

Bercakap di Kremlin pada majlis penganugerahan pingat untuk anggota tentera yang bertugas di Syria, Putin menafikan spekulasi mengenai keretakan hubungan dengan Damsyik.

Dia sebaliknya berkata, pengunduran askar Russia dari Syria dibuat dengan persetujuan Presiden Bashar al-Assad.

Katanya, walaupun mahukan penyelesaian diplomatik untuk menamatkan konflik berkenaan, dia menegaskan Russia tidak akan teragak-agak menghantar tenteranya semula ke Syria.

“Kami hanya memerlukan beberapa jam untuk membina semula kontinjen di rantau itu dan menggunakan semua senjata kami,” katanya.

Pemimpin Russia itu mengarahkan kebanyakan kontinjen tentera negara itu diundurkan dari Syria selepas serangan udara selama lima bulan, atas alasan Kremlin sudah mencapai matlamatnya.

Dalam temu ramah disiarkan akhbar Komsomolskaya Pravda, ketua tentera udara Russia, Viktor Bondarev berkata, pengunduran tentera Russia dari Syria akan selesai menjelang hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:06 AM