ANGGOTA pemberontak menggunakan telefon bimbit ketika menaiki bas untuk keluar dari bandar Douma di Ghouta Timur  kelmarin. - Reuters
ANGGOTA pemberontak menggunakan telefon bimbit ketika menaiki bas untuk keluar dari bandar Douma di Ghouta Timur kelmarin. - Reuters

Douma: Tentera Syria menawan bandar terakhir dikuasai pemberontak di Timur Ghouta semalam selepas perjanjian dicapai bagi membolehkan kumpulan penentang dan orang awam meninggalkan kawasan berkenaan.

Perjanjian yang diatur oleh Russia itu, menyaksikan kumpulan Jaish al-Islam, meninggalkan bandar utama Timur Ghouta, Douma, untuk ke wilayah yang masih dikuasai pemberontak di utara negara itu, lapor media dan kumpulan pemerhati.

Tiada pengesahan diterima daripada pemberontak, tetapi tentera Russia berkata, ia sudah mencapai persetujuan awal pengunduran kumpulan berkenaan dari Timur Ghouta yang terletak berhampiran Damsyik.

Tiada tarikh diberikan untuk tujuan pengunduran dan Moscow berkata, pemberontak dijangka membuang periuk api daripada bangunan dan membersihkan sekatan jalan raya sebelum meninggalkan Douma.

Kejayaan menawan semula Timur Ghouta menjadi kejayaan besar kepada usaha Presiden Bashar al-Assad mengambil alih wilayah yang dirampas pemberontak dalam perang saudara di negara itu yang masuk tahun ketujuh.

Dengan sokongan Russia, tentera Syria mencapai banyak kejayaan menewaskan pemberontak sejak beberapa tahun ini, menerusi kempen kepungan, pengeboman udara dan serangan darat yang mencetuskan kritikan antarabangsa.

Agensi berita SANA melaporkan, Jaish al-Islam akan menuju ke Jarabulus di Aleppo, manakala Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, mereka juga akan menuju ke Al-Bab, kedua-dua bandar yang dikuasai pemberontak pro-Turki.

Perjanjian itu menyaksikan polis tentera Russia memasuki Douma dan institusi kerajaan kembali ke bandar itu. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 3:44 AM