BERNAMA

Sungai Petani: Tujuh kes samun dan cubaan samun yang menyasarkan wanita dan suri rumah dilaporkan berlaku di sekitar daerah Kuala Muda hari ini, dipercayai dilakukan kumpulan yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata ketujuh-tujuh kes itu yang berlaku antara 9 hingga 11 pagi tadi dilakukan empat lelaki bersenjatakan parang serta menunggang motosikal.

Antara lokasi kes itu ialah di Taman Sejati Indah, Bandar Mutiara, Taman Cendana, Taman Sri Tanjung, Taman Desa Enggang, Bandar Amanjaya dan Persiaran Amanjaya, Bedong.

Dalam kejadian berkenaan dua wanita dilaporkan cedera.

Md Zukir berkata, polis masih lagi memburu keempat-empat lelaki itu dan meminta penduduk di Kuala Muda terutama golongan wanita dan suri rumah agar lebih berhati-hati ketika keluar rumah.

"Kaum ibu yang pulang daripada kerja atau pergi ke pasar jangan sesekali dedahkan beg tangan atau pakai barang kemas kerana kumpulan ini amat berbahaya dan tidak teragak-agak untuk menyerang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 8:39 PM