GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Osman


Sungai Petani: Kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera ibu dan teman lelakinya di rumah mereka di Amanjaya, di sini, semalam.

Kejadian itu terbongkar selepas wanita berusia 22 tahun itu membawa anaknya berusia dua tahun itu ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), kira-kira 9.30 malam.

Mangsa bagaimanapun gagal diselamatkan selepas mengalami kecederaan dalaman dan kesan lebam baru serta lama.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat doktor ke atas mangsa menemui kesan lebam lama dan baru pada bahagian perut serta alat sulitnya.

Katanya, doktor yang mengesyaki mangsa didera memaklum kes kematian kanak-kanak itu kepada anggota polis yang bertugas di hospital untuk tindakan lanjut.

"Wanita terbabit bersama teman lelakinya berusia 24 tahun kemudian ditahan dan direman bermula hari ini hingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan.

"Siasatan juga mendapati mangsa pernah menjadi mangsa dera pengasuhnya Januari lalu di mana suspek sudah dituduh di mahkamah Februari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:10 PM