GAYA SUV yang sesuai untuk pemanduan harian.
GAYA SUV yang sesuai untuk pemanduan harian.
PERUMAH lampu belakang yang jelas pada waktu malam.
PERUMAH lampu belakang yang jelas pada waktu malam.
ENJIN empat silinder, 16 injap yang menjimatkan minyak.
ENJIN empat silinder, 16 injap yang menjimatkan minyak.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
BUMBUNG suria dipadankan pada model ini.
BUMBUNG suria dipadankan pada model ini.
Oleh Badrila Jamlus


Tanggapan pertama yang timbul di fikiran sebaik menerima kunci kereta ini adalah saiz reka bentuknya sangat besar dan persoalan sama ada enjin berkuasa 2.0L Twin-Scroll Turbocharged empat silindernya perlu dikerah dengan lebih kuat untuk kenderaan SUV ini meluncur laju di jalan raya.

Bagaimanapun, persepsi itu berubah sebaik saja pedal minyak ditekan kerana enjin terbaru model generasi keempat Lexus RX 200t ini cukup bertenaga apatah lagi dipadankan transmisi enam kelajuan Kawalan Elektronik Transaxle Super (ECT) yang lebih ringan dan kompak sekali gus menyalurkan kuasa kuda maksimum 235 pada 4,800-5,600 rpm dan tork maksimum 350Nm pada 1,650-4,000 rpm.

Jika mahukan lebih prestasi, tukar saja mod pemanduan dengan pilihan kepada Sport/Sport + atau mod jimat minyak kepada Eco/Normal malah boleh mencuba mod Customize iaitu mod yang boleh diubah suai mengikut cita rasa pemandu itu sendiri.

Ternyata, kehadiran model itu yang boleh dikategorikan sebuah SUV Premium buatan Jepun ini mampu berdiri sebaris dengan SUV buatan Jerman atau Eropah lain malah ada antara ciri yang dipadankan pada model itu menjadi satu kelebihan berbanding model lain.

Reka bentuk luarannya lebih tajam khususnya di bahagian muncung hadapan dengan gril yang besar dan garis-garis halus badan yang aerodinamik dianggap sungguh menarik perhatian sesiapa saja malah dilihat sangat sesuai dengan karakter sebuah SUV premium.

Antara ciri yang menarik perhatian iaitu kerusi penumpang belakang yang boleh dilaraskan sedikit ke belakang membolehkan ‘bos’ melelapkan mata dengan penuh keselesaan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja atau menempuh perjalanan yang jauh.

Reka bentuk kerusi yang ergonomik tidak sahaja menawarkan keselesaan, juga menampilkan ciri penuh elegan dan menyokong sepenuhnya badan pemandu serta penumpang. Malah kerusi hadapan juga dilengkapi sistem ventilasi bagi menambah keselesaan ketika cuaca panas.

Selain itu, struktur platform reka bentuk badan kenderaan yang dipertingkatkan termasuk penggunaan laser bagi kimpalan skru dan besi kepadatan tinggi bagi bahagian A-pillar dan B-pillar menyumbang kepada kabin senyap serta meningkatkan ciri kendalian kenderaan itu ketika di jalan raya.

Fakta menarik mengenai setiap model Lexus RX yang dihasilkan di Jepun ialah menggunakan cat makro molekular polimer yang kalis calar seperti kesan calar di bahagian pemegang pintu luar yang biasa berlaku dan membantu memberikan tahap kilauan lebih lama berbanding cat biasa.

Berbanding model terdahulu, RX terbaru ini lebih panjang 120mm sekali gus menjadikan asas rodanya tambahan 50mm dan penambahan itu memberikan ruang kabin lebih luas khususnya ruang kaki di bahagian penumpang belakang selain ruang kargo.

Meskipun bersaiz besar, tahap pengendalian stereng serta kemampuannya ketika dipandu dalam laluan berbukit mendaki dan berliku sangat lancar malah ketika mahu memotong kenderaan pula amat mudah apabila dibantu oleh sensor RCTA (Rear Cross Traffic Alert) yang mengelipkan lampu amaran beberapa kali pada cermin sisi sekira­nya ada kenderaan yang muncul atau berada di sebelah kiri atau kanan.

Keupayaan sistem RCTA ini turut digabungkan dengan sistem monitor titik buta (BSM) yang menghantar gelombang radar di bahagian belakang kenderaan meliputi jarak kawasan sehingga 60 meter. Kamera undur belakang yang lengkap dengan visual di kiri dan kanan juga membantu ketika mengundur atau melalui kawasan yang sempit.

Terlalu banyak boleh diceritakan mengenai model SUV ini tetapi satu perkara yang mungkin boleh diperbaiki pada masa depan atau menerusi pengeluaran model generasi akan datang ialah sistem butang brek elektronik yang mungkin boleh diletakkan lebih hampir dengan kedudukan tuil gear. Ini kerana butang sedia ada terletak agak ‘dalam’ dan sedikit tersorok dari capaian tangan.

Kini, enam varian ditawarkan bagi Lexus RX iaitu RX 200t (Premium, Luxury & F Sport), RX 350 (Luxury & F Sport) dan RX 450h (hibrid).

RX 200t menggunakan enjin 2.0L turbo dengan transmisi automatik enam kelajuan manakala RX 350 pula dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6 berkemampuan 295hp/370Nm dan dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

Sementara itu, varian paling tinggi, RX 450h pula mendapat kuasa daripada gabungan enjin 3.5 liter Atkinson Cycle V6 petrol dan motor elektrik dengan bateri NiMH, mampu mengeluarkan sehingga 308hp dan 335Nm tork.

Pada varian RX 350, ada ciri istimewa iaitu pintu bahagian simpanan belakangnya boleh dibuka dengan melambaikan tangan pada lambang Lexus di situ sambil kunci berada bersama.

RX 350 F-Sport pula seperti biasa mempunyai lambang khas di merata bahagian bersama Head Up Display (HUD) dan sistem bunyi 15 pembesar suara Mark-Levinson.

Harga setiap model RX ini adalah RM388,800 (RX 200t Premium); RM408,400 (RX 200t Luxury); RM422,990 (RX 200t F Sport); RM 457,800 (RX350); RM486,300 untuk RX 350 F Sport dan RM520,200 untuk RX 450h. Harga ini adalah tidak termasuk insurans dan datang bersama jaminan tiga tahun atau 100,000km.

INFO

LEXUS RX 200t F SPORT

- ENJIN: 2.0L, 4 silinder sebaris, 16-injap, Twin-Scroll Turbocharged

- KUASA MAKSIMUM: 235hp @ 4,800-5,600rpm

- TORK MAKSIMUM: 350Nm @ 1,650-4,000rpm

- TRANSMISI: Automatik 6-kelajuan (dengan AWD Dynamic Torque Control)

- CIRI KESELAMATAN: 10 beg udara, Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM), ABS & BA, kawalan cengkaman (TC), Hillstart Assist, Blind Spot Monitor dan lain-lain.

- HARGA: RM422,990 (termasuk GST, tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:02 AM