NURUL Hafizah minat bidang kecantikan.
NURUL Hafizah minat bidang kecantikan.
PERALATAN digunakan Nurul Hafizah ketika mengurut pelanggan.
PERALATAN digunakan Nurul Hafizah ketika mengurut pelanggan.
MENGURUT antara kebolehan Nurul Hafizah.
MENGURUT antara kebolehan Nurul Hafizah.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak cukup masa untuk diluangkan bersama keluarga tercinta selain minat mendalam dalam bidang kecantikan menjadi faktor utama wanita muda ini berani membuat keputusan berhenti bekerja di sebuah spa terkemuka sebelum nekad memulakan perniagaan sendiri.

Mempunyai pengalaman lebih lapan tahun dalam bidang urutan tradisional selain mempelajari ilmu dalam bidang itu daripada ahli keluarganya yang turut berkecimpung dalam bidang sama membuatkan wanita gigih ini yakin untuk mengusahakan perniagaan urutan sendiri.

Nurul Hafizah Mohd Noor, 27, mula mengurut sejak 10 tahun lalu ketika masih bujang. Namun, selepas lapan tahun bekerja di spa, dia mula yakin mampu mengusahakan perniagaan sendiri.

“Saya memilih menawarkan khidmat urutan tradisional secara bergerak iaitu dengan pergi ke rumah pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Menurut Nurul Hafizah, pilihannya nyata tepat kerana selain menerima sambutan memberangsangkan daripada pelanggan, pada masa sama dia dapat meluangkan masa bersama suami dan cahaya matanya yang kini berusia 21 bulan.

“Jadual harian saya tidak terikat dan saya boleh menunaikan tanggung jawab sebagai seorang isteri dan ibu dengan lebih baik kerana boleh merancang kerja atau jadual aktiviti.

“Suami banyak memberi dorongan untuk saya me­ngusahakan perniagaan ini dan pada masa sama suami turut melakukan khidmat mengurut secara sambilan kerana turut meminati bidang sama,” ujarnya.

Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, menawarkan khidmat urutan secara bergerak ke rumah pelanggan itu juga memberi pendapatan lumayan kepadanya, sekali gus meringankan beban suami.

“Syukur kerana saya ambil tindakan yang tepat dengan berhenti kerja. Saya tidak menyesal kerana kehidupan saya kini nyata lebih terurus dan gembira,” sambungnya lagi.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan tukang urut muda ini ialah urutan selepas bersalin, urutan tradisional dan urutan khas untuk bayi yang semuanya dilakukan di rumah pelanggan supaya berasa selesa.

Nurul Hafizah berkata, selain mempunyai masa untuk diluangkan bersama keluarga, dia turut mengakui tugasnya kini membuatkan dia sentiasa sihat dan gembira kerana mempunyai masa untuk berehat.

“Sekiranya pada hari terbabit saya tidak mempunyai pelanggan, saya pasti berehat di rumah selain meluangkan masa yang lebih bersama anak dan suami.

“Walaupun pada mulanya agak sukar untuk membuat keputusan berhenti bekerja selain berasa bimbang tidak mampu menjalankan perniagaan sendiri, kini saya gembira kerana bekerja sendiri memberikan kepuasan berbeza,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan medium laman sosial Instagram iaitu mobile_spa_village bagi mempromosikan perkhidmatannya.

Sering menerima tempahan daripada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Nurul Hafizah juga semakin bersemangat memperluaskan khidmatnya dan yakin ia boleh memberi pendapatan lumayan.

“Jika bersungguh-sungguh berusaha, saya yakin setiap orang boleh berjaya. Apa yang penting kita perlulah memberi perkhidmatan dengan ikhlas dan pada masa sama, masih memberi keutamaan kepada keluarga khususnya anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 12:55 PM