BERSAMA keluarga tercinta.
BERSAMA keluarga tercinta.
Siti Nadirah Hafidzin

Mungkin ia dianggap satu cita-cita yang kelakar atau tidak masuk akal, namun hakikatnya wanita ini sudah memasang azam menjadi bidan dan tukang urut moden yang berjaya sejak di bangku sekolah rendah.

Walaupun sering diejek rakan sebaya kerana cita-citanya dianggap tidak profesional, namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangatnya malah dia bertekad membuktikan kerjaya idamannya mampu mendatangkan pendapatan lumayan suatu hari nanti.

Nor Qamarul Ahmad Rashidi yang kini bergelar bidan profesional berkata, dia amat meminati bidang itu terutama membabitkan aspek urutan hasil pendedahan awal dan didikan keluarga terutama bapanya.

“Ayah seorang tukang urut dan sejak kecil dunia urutan memang dekat dengan saya. Dalam keluarga saya juga ada yang menjadi bidan dan membuatkan mula memasang cita-cita untuk bergelar bidan berjaya sejak berusia tujuh tahun.

“Masih segar di ingatan bagaimana saya sering diejek rakan sebaya kerana mereka menganggap bidan adalah kerjaya orang kampung dan hanya untuk wanita tua,” ujarnya sambil tersenyum mengimbas kenangan lama.

Wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini bagaimanapun berkata, ejekan rakan itu menjadi pemangkin semangat untuk mencapai cita-citanya.

“Sejak di sekolah rendah saya sudah belajar daripada ayah teknik urutan yang betul selain mula mengikutnya masuk ke hutan mencari akar kayu untuk dibuat ubat-ubatan, herba dan minyak urut.

“Dari situlah saya semakin berminat dengan bidang ini. Hasil didikan ayah dan sanak saudara lain, saya mula mengurut ahli keluarga selepas bersalin dan menjaga bayi seawal usia saya 13 tahun lagi, katanya.

Nor Qamarul mengakui keakrabannya dengan ayah tersayang, Ahmad Rashidi Pandak Abdul Samad, banyak memberinya ilmu urutan yang betul dan dijadikan panduannya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya kini.

Menurutnya yang mempunyai pengalaman mengurut lebih 20 tahun, walaupun dia mempunyai ramai adik-beradik iaitu 18 orang, hanya dia saja yang menunjukkan minat untuk mendalami bidang itu.

“Selain saya, ada juga adik-beradik lain mempunyai kebolehan mengurut namun mereka tidak berminat untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya utama.

“Alhamdulillah, berkat ketekunan dan semangat gigih akhirnya saya berjaya menjadi bidan dan tukang urut khusus dalam masalah wanita. Saya juga sangat bersyukur dengan kemahiran yang ada ini yang membolehkan saya dapat membuka spa sendiri pada 2012 lalu,” katanya.

Nor Qamarul yang kini mempunyai tiga cahaya mata dan sedang hamil anak keempat berkata, dia amat bersyukur kerana suami, Rahmad Faizal Nordin memahami minatnya serta memberi sokongan padu kepadanya untuk menjadikan bidang itu sebagai kerjaya utama.

Bukan saja memahami, malah suami sanggup mengeluarkan modal untuk dia membuka spa walaupun Nur Qamarul sering kesempitan masa bersama keluarga kerana memenuhi tempahan pelanggan.

BANTU SELESAIKAN PELBAGAI MASALAH WANITA

Wanita berjiwa kental ini memberitahu dia hanya mengurut wanita terutama yang baru melahirkan anak dengan menawarkan pakej berpantang di rumah pelanggan atau di pusat berpantang yang diusahakannya sendiri di Kota Bayuemas, Klang, Selangor.

“Saya lebih fokus kepada rawatan berpantang namun turut melakukan pelbagai rawatan lain khusus dalam menangani pelbagai masalah wanita.

“Pelanggan yang mahu berurut atau mendapatkan rawatan disarankan membuat tempahan awal untuk membolehkan saya menyusun jadual,” katanya.

Menurut Nor Qamarul, selain melakukan urutan untuk wanita selepas bersalin dia turut mempunyai kemahiran menangani masalah wanita seperti rahim jatuh, angin dalam rahim atau badan, ikhtiar mendapatkan zuriat dan urutan saraf dengan menggunakan teknik urutan dan doa. Pada masa sama dia juga menawarkan khidmat rawatan badan dan muka.

“Saya berusaha membantu wanita menangani pelbagai masalah yang dialami. Selain mementingkan mutu perkhidmatan, saya juga sentiasa menjaga penampilannya supaya kemas dan menyenangkan pelanggan. Walau sesibuk mana pun saya akan pastikan penampilan diri sentiasa kemas dan cantik.

“Sering kali pelanggan terkejut apabila bertemu dengan saya kerana mereka menjangkakan bidan yang berusia. Mereka tidak sangka bidan yang ditempah masih muda,” katanya tersenyum.

Berulang kali dia memberitahu kepuasannya dapat mencapai cita-citanya. Malah dia juga gembira dapat membuktikan kepada rakan lama ketika kecil dulu bahawa setiap cita-cita jika diusahakan sebaik mungkin boleh membuahkan pendapatan lumayan.

“Syukur saya berjaya mencapai cita-cita saya. Lebih penting lagi saya juga dapat membantu wanita kembali sihat dan cergas supaya mereka boleh melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu dengan baik.

“Puas dan gembira. Inilah misi saya. Puas dapat membantu orang lain dan gembira apabila mereka kembali cergas,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 2:13 PM