ANTARA bahan yang digunakan untuk mengurut pelanggannya.
ANTARA bahan yang digunakan untuk mengurut pelanggannya.
LIZA menggunakan teknik refleksologi untuk mengurut.
LIZA menggunakan teknik refleksologi untuk mengurut.
URUTAN khusus Liza hanya untuk wanita.
URUTAN khusus Liza hanya untuk wanita.

FATIN FARHANA JAPRE kagum semangat seorang wanita yang bijak mencari peluang dengan meneruskan minatnya menawarkan khidmat mengurut dari rumah ke rumah.

Berkahwin pada usia muda adalah perkara biasa bagi remaja masa kini. Malah ada yang sanggup berkorban melupakan kerjaya yang dibina demi meluangkan masa dengan keluarga tercinta dan menjaga anak-anak.

Begitu juga Nor Alizah Abd Aziz, 25, yang memperkenalkan dirinya sebagai Liza membuat keputusan berhenti kerja di sebuah spa terkemuka di Melaka kerana kekangan masa sebelum memikirkan alternatif lain untuk meneruskan minatnya.

Liza berkata, dia mula mengurut sejak lapan tahun lalu ketika masih bujang. Namun selepas enam tahun bekerja di spa dan mendirikan rumah tangga, dia terpaksa berhenti kerja selepas kelahiran putera sulungnya.

“Dua tahun lalu selepas berhenti kerja, saya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa untuk menjaga anak. Faktor saya berhenti kerja bukan saja kerana anak tetapi waktu bekerja sehingga ke malam menyebabkan suami menyarankan supaya saya berhenti.

“Kebiasaan mengurut selama enam tahun menyebabkan saya tidak betah duduk di rumah selama tiga bulan tanpa mengurut pelanggan. Oleh itu, saya mendapat idea untuk menawarkan perkhidmatan mengurut khas untuk perempuan dari rumah ke rumah,” katanya.

Laman sosial Facebook (Nor Alizah Ab Aziz) digunakannya sebagai medium untuk menguar-uarkan khidmat urutnya. Antara urutan yang dilakukannya ialah urutan tradisional Jawa dan Melayu seluruh badan RM40, skrub seluruh badan RM30, sengkak selepas bersalin dan bertungku RM40, urutan refleksologi RM30 dan banyak lagi mengikut permintaan pelanggannya.

“Kebanyakan pelanggan saya kini adalah pelanggan tetap ketika saya bekerja di spa dahulu. Mereka semua bekerjaya dan tiada masa ke spa selalu.

“Dengan menawarkan khidmat urut di rumah, mereka lebih selesa.

“Bahkan saya juga menawarkan urutan anti-stress yang lebih lembut untuk remaja yang belum berkahwin. Mereka boleh berurut sebulan sekali agar badan mereka sentiasa bertenaga dan menghilangkan tekanan di tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, barang yang digunakan untuk mengurut dibuat sendiri daripada bahan tradisional seperti rempah ratus, kunyit dan sebagainya.

“Saya lebih gemar menggunakan minyak urut yang dibuat sendiri kerana tubuh pelanggan saya dapat menyerap khasiat semula jadi.

“Selain itu, pelanggan juga akan diberi jamu asam kunyit yang dibuat sendiri mengikut sesi urutan tertentu. Kelebihan jamu ini untuk mengecutkan rahim, menaikkan seri wajah, memberi tenaga, memperbanyakkan susu badan, seri pengantin, awet muda dan banyak lagi,” katanya.

Kata Liza, pilihannya ternyata tepat kerana selain mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan, dia juga dapat meluangkan masa bersama suami dan anak. Suaminya juga sentiasa memberi sokongan.

“Saya gembira dengan kehidupan saya kini walaupun perlu menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu namun saya tetap dapat meneruskan kerjaya saya. Sekali gus membantu meringankan beban suami.

“Sebulan pendapatan saya boleh mencecah RM500 tidak termasuk pakej lain tetapi cukuplah duit sampingan untuk saya. Jika ada rezeki, saya nak buka spa sendiri dan kini masih dalam proses mengumpul wang.

“Bagi remaja yang mempunyai kemahiran semula jadi mengurut, anda sepatutnya menggunakan kelebihan yang dimiliki sebaik mungkin di samping dapat menjana pendapatan sampingan. Terlalu banyak urutan Bali di Malaysia dan ini peluang kita untuk mengetengahkan urutan tradisional Melayu pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:00 AM