FOTO hiasan. FOTO Muhammad Sulaiman
FOTO hiasan. FOTO Muhammad Sulaiman
Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Seramai 17 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat 11 calon berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2014, hanya enam calon direkodkan cemerlang dengan PNGK 4.00.

Pengarah Pendidikan Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, sebanyak 33 daripada 59 sekolah bantuan penuh kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus.

"Peratus lulus penuh keseluruhan calon negeri ini adalah 98.26 peratus sekali gus mengatasi peratusan peringkat nasional iaitu 0.62 peratus.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim (1) Pasir Mas menunjukkan prestasi terbaik di peringkat negeri dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.26 sekali gus menjadi antara 10 sekolah terbaik STPM 2015 kebangsaan.

"Alhamdulillah, sekali lagi tiga calon dari negeri ini iaitu Muhammad Hakim Suhaimi dari SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas; Nur Izwani Zulkifli SMK Seri Intan, Machang dan Muhammad Ikmalul Iktimam Mahadhir SMK Sri Gunung, Bachok, dipilih pelajar terbaik peringkat nasional," katanya di sini, sebentar tadi.

Jumlah keseluruhan calon mengambil STPM tahun lalu adalah 3,508.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:58 PM