MOHD Zin (tiga kanan) menunjukkan keputusan STPM 2021 selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHD Zin (tiga kanan) menunjukkan keputusan STPM 2021 selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 57 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding 68 calon pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Zin Halim berkata, sebanyak 45 sekolah daripada 60 sekolah kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus.

Katanya, pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) calon sekolah kerajaan di negeri ini ialah 2.92 berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 2.79 sekali gus menunjukkan pencapaian peringkat negeri mengatasi peringkat nasional.

"Sementara, peratusan lulus penuh keseluruhan calon di negeri ini adalah 99.36 peratus dan mengatasi peratusan peringkat nasional sebanyak 0.81 peratus.

"Jumlah keseluruhan calon yang menduduki STPM pada tahun lalu adalah seramai 3,421," katanyapada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2021 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, JPN Tunjong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekolah paling cemerlang di Kelantan bagi keputusan STPM ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas (GPS 3.51), SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas (GPS 3.27) dan SMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu (GPS 3.27).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 12:59 PM