GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Individu yang didiagnosis jangkitan pertussis atau batuk kokol perlu diisolasi atau dikuarantin bagi mengelak penyakit berkenaan merebak dalam kalangan masyarakat terutama kanak-kanak.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata, kumpulan berisiko dijangkiti penyakit itu adalah kanak-kanak berusia kurang 12 tahun, manakala gejala lebih teruk berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

"Penyakit ini lebih tinggi risiko sekiranya dijangkiti dalam kalangan kanak-kanak yang belum atau tidak mengambil vaksin pertussis. Kanak-kanak yang belum divaksin (masih sihat) disyorkan tidak terdedah kepada persekitaran berisiko untuk tempoh lima hari hingga maksimum 21 hari.

"Batuk kokol ini kebiasaannya mengambil masa satu atau dua minggu (untuk muncul) selepas seseorang itu terdedah kepada punca jangkitan dan ada tiga fasa. Pada permulaan pesakit akan mengalami demam, selesema biasa berlarutan, selepas itu batuk teruk, berulang dan susah bernafas seterusnya bunyi batuk yang nyaring," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, sekiranya batuk kokol menjangkiti bayi berusia kurang setahun, bayi tidak akan mengalami batuk, namun kebiasaannya akan menunjukkan gejala kurang bermaya dan tiba-tiba menjadi biru disebabkan mengalami masalah pernafasan.

"Apa berlaku, pertussis ini ada bakteria penyebab (Bordetella pertussis) yang mengeluarkan toksin mengakibatkan kerosakan sel pada saluran pernafasan, jadi apabila berlaku jangkitan biasanya ada kahak yang ingin dikeluarkan tetapi tidak boleh disebabkan sel itu rosak.

"Oleh itu, badan kita akan beralih kepada batuk dan cuba keluarkan kahak dengan begitu sukar sehingga menyebabkan seseorang itu boleh muntah. Kanak-kanak pula akan mendapat apnea iaitu pernafasan tiba-tiba terhenti dan sekiranya berlaku dengan kerap boleh menyebabkan kematian," katanya.

Beliau berkata, penyakit berkenaan ditularkan melalui titis rembesan batuk dan bersin melalui udara atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata, manakala toksin dikeluarkan bakteria itu merosakkan sel paru-paru dan menyebabkan kahak atau rembesan daripada paru-paru gagal dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 10:21 AM