Miami: Sergio Garcia (gambar) membenam eagle sekali gus berkongsi pendahuluan hari pertama Kejohanan Jelajah PGA Honda Klasik bersama juara 2013 Michael Thompson yang berlangsung di lapangan Palm Beach Gardens, Florida.

Garcia mempamer aksi cemerlang sejak awal apabila bola pukulan keduanya di lubang par empat dengan menggunakan iron 8, bergolek ke lubang untuk eagle.

Dia menambah empat lagi birdie dengan satu-satunya bogey dicatat di lubang enam apabila bolanya tersasar ke kolam yang turut dihuni buaya.

“Saya bimbangkan kehadiran buaya dalam kolam itu dan akibatnya, saya sekadar mencatat bogey selepas pukulan pertama tersasar ke situ,” kata Garcia.

Pada hari kejohanan yang diganggu angin di lapangan Kebangsaan PGA par 70 itu, Garcia bagaimanapun tidak terganggu dengan catatan satu bogey itu dan enggan menjadikannya sebagai alasan.

Dia melengkapkan saingan hari pertama dengan birdie di lubang 18 yang menyaksikannya melengkapkan putt dari jarak enam kaki.

Thompson berkongsi kedudukan selepas membenam eagle, dua bogey dan lima birdie.

“Saya hanya menikmati permainan hari ini,” kata Thompson yang mengumpul satu-satunya gelaran Jelajah PGA di lapangan sama, tiga tahun lalu. “Saya tidak fikir permainan saya cukup sempurna.”

Kedua-dua pemain itu memiliki kelebihan satu pukulan berbanding Rickie Fowler dan William McGirt.

Fowler mencatat empat birdie untuk mengumpul 66 pukulan manakala McGirt membenam tujuh birdie termasuk tiga secara berturut-turut di hujung saingan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 6:18 AM