AFP

Miami, AS: Jason Dufner (gambar) membenam dua eagle untuk enam bawah par 65 semalam sekali gus mendahului satu pukulan menjelang pusingan akhir kejohanan RBC Heritage dalam Jelajah PGA AS di Hilton Head, Carolina Selatan.

Dufner eagle kedua-dua lubang par-lima dalam sembilan lubang pertama, menolak masuk dari jarak 11 kaki pada lubang kedua dan pitching dari luar green pada lubang kelima di Harbour Town.

Jumlah keseluruhan 13 bawah par 200 meletakkannya di depan pemain Kanada, Graham DeLaet, yang gagal berkongsi pendahulu selepas bogey pada lubang ke-18 untuk merakam 69 bagi 201.

Dufner turut mempunyai tiga bogey di sembilan lubang pertama namun selain dua eagle itu, dia membenam lima birdie, empat daripadanya di sembilan lubang terakhir.

“Sembilan lubang pertama agak turun naik,” kata Dufner. “Memang menyeronokkan untuk mendapat eagle apatah lagi dua.

“Sembilan lubang terakhir amat bersih. Saya amat gembira dengan cara saya beraksi di sembilan lubang kedua.”

Pendahulu bersama semalaman DeLaet membuka aksinya dengan bogey, kemudian membenam empat birdie sebelum gagal sekali lagi pada lubang terakhir.

Dia mendahului satu pukulan di depan dua pemain AS, Kevin Kisner, yang mencatat 66 dan Webb Simpson, yang merakam 68.

“Amat mengecewakan untuk berakhir dengan bogey pada lubang terakhir, tapi jelas saya bermain dengan amat baik dan teruja mengenai pusingan akhir,” ujar DeLaet, yang menang tiga kali dalam Jelajah PGA Kanada namun tidak pernah menang dalam 159 kejohanan Jelajah PGA AS.

“Saya tidak sabar mengenai prospek bermain dengan Jason. Saya pernah bermain dengannya beberapa kali sebelum ini dan ia pasti menarik.”

Pemain England, Ian Poulter berseorangan dnegan 203 selepas 69. Poulter mendahului seketika dengan empat birdie pada sembilan lubang pertama sebelum memulakan sembilan lubang kedua dengan double bogey dan bogey.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 11:41 AM