JORDAN SPIETH
JORDAN SPIETH
AFP

NEW YORK: Jordan Spieth bertindak cemerlang di green apabila dia muncul pendahulu bersama selepas pertengahan saingan pada kejohanan Northern Trust, kejohanan pertama dalam playoff Piala FedEx dalam Jelajah PGA AS, awal pagi tadi.

Tujuh birdie catatan Spieth termasuk lima secara berturut-turut dari lubang ke-10 hingga ke-14 - enam secara keseluruhan di sembilan lubang kedua dengan lima bawah par 65 yang membolehkannya mengumpul enam bawah par keseluruhan 134.

Dia berkongsi sebagai pendahulu dengan tiga pemain termasuk pemain nombor satu dunia Dustin Johnson, pemain Venezuela, Jhonattan Vegas dan Rickie Fowler.

Vegas turut mencatat 65, membenam lima birdie tanpa sebarang bogey. Fowler merakam 66 dan Johnson satu bawah par 69 di lapangan Glen Oaks Club di Old Westbury, New York.

Penyandang juara Terbuka British, Spieth terkeluar daripada kelompok pendahulu dengan bogey pada lubang ke-15, namun dia bangkit dengan tolakan dari jarak 40 kaki untuk birdie pada lubang ke-16.

“Saya berlatih seketika di green sebelum memulakan pusingan hari ini,” kata Spieth, yang turut menolak masuk birdie dari jarak 23 kaki pada lubang ke-12. “Saya hanya menyesuaikan diri sedikit dengan kedudukan sejajar dan posisi bola.”

Matt Kuchar dan Bubba Watson satu pukulan lagi di belakang dengan 135.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 12:27 PM