Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan bekas isterinya, Rozana Misbun di depan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, dua tahun lalu.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Husna Dzulkifly.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sejati dan Tragedi Oktober itu memakai jaket hitam dan kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 petang, 2 Jun 2014 dan dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dendan maksimum RM4,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Awie diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap wanita sama di Taman Ukay Bestari dan perbicaraan kes itu sedang berlangsung di peringkat pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 11:52 AM