Sam dan Syatilla selamat diijabkabulkan 9 malam tadi. FOTO Syafil Syazwan Jefri
Sam dan Syatilla selamat diijabkabulkan 9 malam tadi. FOTO Syafil Syazwan Jefri
Mazizul Dani

Nibong Tebal: Genap usianya 25 tahun, pelakon Syatilla Melvin atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin sah menjadi isteri kepada pelakon Shaheizy Sam yang nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 34.

Hari ini yang juga hari lahir Syatilla menjadi tarikh bersejarah bagi kedua-duanya selepas mereka selamat diijabkabulkan jam 9 malam tadi di rumah keluarga Syatilla di Bukit Jawi Golf Villa, di sini.

Sam dan Syatilla dinikahkan oleh jurunikah, Profesor Madya Datuk Ellias Zakaria, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dengan satu kali lafaz.

Sam melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Ustaz Muhamad Sayuti Omar, Pegawai Tadbir Agama Daerah merangkap Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Seberang Perai Selatan.

Syatilla yang berwalikan bapanya, Amirol Melvin Abdullah menerima tujuh dulang hantaran daripada Sam dan membalasnya dengan sembilan dulang.

Syatilla juga menerima mas kahwin sebanyak RM10,082.

Dua pelakon itu kelihatan segak dan anggun menggayakan persalinan berwarna putih.

Sam turut menyarungkan cincin bertatahkan berlian bernilai RM128,000 daripada Ceres.

Sehari sebelumnya, pasangan selebriti itu diraikan dalam majlis pertunangan ringkas dan berinai.

Mereka diijabkabulkan selepas mengumumkan mengenainya pada 12 Januari lalu apabila sekian lama berteka-teki mengenai hubungan mereka.

Pasangan ini bakal diraikan dalam majlis resepsi sebelah pengantin perempuan di Bukit Jawi Golf Resort esok, manakala majlis sebelah pengantin lelaki akan diadakan pada 14 Februari ini di Hotel Mandarin Oriental.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 2:29 AM