Mazizul Dani


Nibong Tebal: Lebih 5,000 tetamu menghadiri Majlis Resepsi pasangan selebriti Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin di Bukit Jawi Golf Resort, yang bermula jam 12 tengah hari tadi, di sini.

Mereka menantikan dengan penuh sabar untuk melihat pasangan berkenaan dengan lebih dekat.

Sam dan Syatilla kemudiannya tiba di pekarangan resort berkenaan dengan menaiki kereta BMW pada jam 1 tengahari dengan diiringi 237 motosikal berkuasa tinggi.

Perjalanan mempelai memasuki dewan persandingan diiringi paluan kompang diikuti selawat Nabi SAW sebelum ke pelamin yang tersergam indah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara merenjis air mawar dengan dimulakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama Dr Abdul Rahman Abas dan isteri, Toh Puan Datin Seri Majimor Shariff

Diikuti Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ahli keluarga kedua-dua belah pihak tidak ketinggalan untuk menepung tawar pasangan mempelai yang sama cantik dan sama padan.

Syatilla kelihatan anggun mengenakan busana serba putih rekaan Arma Couture, manakala suaminya segak dengan tuksedo berwarna emas daripada Lords Tailor.

Majlis resepsi ini bertemakan Inggeris dengan perhiasan serba putih rekaan Zaha Wedding Planner.

Pasangan ini selamat dinikahkan semalam di rumah keluarga Syatilla di Bukit Jawi Golf Villas dengan sekali lafaz.

Syatilla menerima mas kahwin sebanyak RM10,082 dan tujuh dulang hantaran membalasnya dengan sembilan dulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 2:56 PM