Mazizul Dani


Busana yang digayakan ketika acara persandingan raja sehari sentiasa menjadi perhatian tetamu yang hadir.

Apatah lagi jika si pengantin adalah pasangan popular, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin.

Syatilla yang berpengalaman dalam bidang peragaan sejak menyertai Dewi Remaja pada 2010 akan menyarung persalinan anggun satu daripada penajanya iaitu Altelia Amani.

Menurut Pengarah Urusan dan Pereka, Mohamad Farid Omardin, pihaknya diberi tanggungjawab menyiapkan persalinan Syatilla bagi acara malam berinai, resepsi sebelah pihak lelaki di Hotel Mandarin Oriental dan majlis bersama peminat.

“Rekaan baju majlis malam berinai bertemakan Puteri Perak. Persalinan ini menggunakan songket bunga tabur.

"Pada majlis resepsi di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pula Tilla akan menyarungkan gaun daripada kain renda Perancis rona putih manakala Sam pula akan memakai baju bertema kepolisan.

"Bagi majlis resepsi bersama peminat, Tilla memilih gaun berwarna hijau zaitun. Semua persalinan ini bernilai RM100,000 termasuk material,” katanya.

Tambah Farid, ketiga-tiga rekaan adalah ideanya bersama Tilla.

Selain Altelia Amani, turut menaja busana pasangan itu ialah Lord's Tailor, Saiful Baharim dan Arma Couture untuk lima majlis yang dirancang untuk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 3:58 PM
BUSANA Puteri Perak yang bakal digayakan Syatilla pada majlis persandingan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, 14 Februari ini. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
BUSANA Puteri Perak yang bakal digayakan Syatilla pada majlis persandingan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, 14 Februari ini. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli