AHMAD Idham.
AHMAD Idham.

Pelantikan Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman sebagai Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilihat seperti memberi impak besar dalam industri perfileman tempatan.

Ini dapat dilihat apabila idea baru yang dicetuskannya disambut baik ramai pengarah dan penerbit.

Antaranya ialah meletakkan dua ahli jawatankuasa untuk menilai filem yang dihantar sebagai peraturan baru dalam Skim Wajib Tayang.

Difahamkan, setiap filem tempatan melalui dua proses penilaian bagi memastikan filem berkenaan berkualiti sebelum ditayangkan di pawagam.

Wartawan RAP, Syanty Octavia Amry ([email protected]) menemu bual penerbit, pengarah dan penulis skrip, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bagi berkongsi pandangannya mengenai idea berkenaan.

RAP: Komen anda mengenai idea baru yang diusulkan berkaitan setiap filem yang hendak ditayangkan perlu melalui dua penilaian sebagai peraturan baru Skim Wajib Tayang. Setuju atau tidak?

IDHAM: Sebagai pembikin filem yang serius saya amat bersetuju dengan idea berkenaan. Sepatutnya idea seperti ini sudah dilaksanakan sejak dulu.

Saya melihat perkara ini perlu kerana terlalu banyak pembikin filem yang bukan serius menghasil­kan filem tangkap muat dan menjadi lambakan di pasaran.

Perkara ini berlaku apabila ada dana disediakan menyebabkan mereka yang bukan datang daripada pembuat filem berebut-rebut hendak menghasilkan filem tanpa pengalaman dan hanya memandang daripada sudut perniagaan.

Ini membuatkan penghasilan filem tiada kawalan dan pembuat filem serius seperti saya tersepit.

Apabila adanya idea seperti ini, mungkin dapat membantu mengurangkan lambakan filem yang tiada kualiti.

RAP: Kesan yang anda lihat terhadap industri filem tempatan jika idea berkenaan terlaksana?

IDHAM: Saya melihat ia akan memberi kesan positif kepada pembuat filem serius. Sebagai pembuat filem serius, saya tiada masalah dan sangat menyokong kerana ia sangat membantu perkembangan industri filem ke arah yang lebih berkualiti.

Jika kita lihat pada 2010, filem Malaysia hampir berada pada tahap yang membanggakan, tetapi apabila wujudnya golongan peniaga baju, kontraktor dan ahli politik yang hendak membuat filem dan sibuk melabur ia sedikit mengganggu.

Justeru, saya yakin kesan yang baik dapat dilihat terhadap filem Malaysia andai idea berkenaan dilaksanakan.

RAP: Boleh kongsi sedikit perkembangan terbaru anda?

IDHAM: Filem baru terbitan saya berjudul Harmonika arahan Raja Mukhriz bakal menemui penonton tidak lama lagi. Selain itu, drama bersiri terbitan syarikat saya, Aifa Motion Pictures iaitu Married Tapi Benci bakal menemui penonton setia TV3 di slot Lestary.

Selain menguruskan syarikat produksi yang beroperasi di Johor Bahru, saya juga baru saja membuka cawangan syarikat di Kota Damansara awal tahun ini.

Selain untuk urusan produksi, saya juga menubuhkan Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Khas yang diuruskan isteri di sana.

Saya membawa modul dari Singapura dan dibantu guru bertauliah untuk membantu kanak-kanak istimewa.

Fokus utama adalah pembelajaran dan pendidikan untuk mereka. Sekarang kehidupan saya lebih ke arah mengembangkan perniagaan keluarga.

RAP: Jika dilihat anda semakin kurang terdedah di media massa. Malah, filem anda iaitu Mat Moto juga tiada promosi. Apa perancangan sebenar anda?

IDHAM: Saya sudah lama dalam industri ini dan sebagai pembuat filem yang serius kadangkala saya menghasilkan filem mengikut cita rasa penonton.

Filem Mat Moto saya hasilkan khusus buat penggemar motosikal. Ideologinya juga adalah mengenai kisah kehidupan mereka.

Jika dulu saya pernah menghasilkan filem Rempit, saya mengubah kepada Mat Moto pula. Bajet untuk filem ini tidak besar sekitar RM600,000 dan Alhamdulillah saya berpuas hati apabila kutipan yang diterima lebih RM1 juta.

Memang saya tidak mengadakan promosi untuk filem ini kerana sasaran saya buat mereka yang bergelar mat moto dan saya hanya mempromosikan filem ini di Facebook dan laman sosial khusus buat mereka.

Setiap produk yang saya hasilkan, saya ada cara sendiri dalam membuat promosi. Apa yang penting kepuasan peminat terhadap filem yang saya hasilkan.

Malah, saya gembira apabila ramai yang menonton suka dan menyokong penuh ideologi yang cuba saya sampaikan dalam filem ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 9:16 AM