PELBAGAI aspek dinilai termasuk kreativiti, struktur dan jalan cerita dalam setiap kategori dipertandingkan.
PELBAGAI aspek dinilai termasuk kreativiti, struktur dan jalan cerita dalam setiap kategori dipertandingkan.

Acara kemuncak program Digital Campus di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan peserta bertarung dalam Pertandingan Antarabangsa We Code DC.

Seramai 167 pelajar dari 40 sekolah seluruh Malaysia, Indonesia, Vietnam, dan Filipina bertarung untuk mendapatkan kod program terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Eduspec Holdings Bhd EH Lim berkata, menerusi program itu peserta bukan saja mampu meningkatkan kualiti persaingan, malah menambah pengetahuan mencipta aplikasi program sendiri.

“Pertandingan ini bertujuan meningkatkan kualiti persaingan pada tahap paling tinggi selain memberi peluang kepada peserta menimba pelbagai pengetahuan dengan me­nyertai We Code.

“Kami harap pertandingan ini dapat menyemarakkan minat mereka mencipta aplikasi sendiri selain mempertingkatkan kemahiran sedia ada,” katanya.

Sebelum Pertandingan Akhir We Code, seramai 2,359 pelajar dari sekolah rendah dan menengah mempamerkan bakat di Pertandingan We Code Kebangsaan di negara masing-masin sebelum layak bertanding di peringkat akhir.

Pertandingan dibahagi kepada tiga kategori iaitu Freshman (rendah) untuk pelajar berusia enam hingga sembilan tahun yang dikehendaki menghasilkan kisah kreatif, kategori Sophomore (rendah atas) untuk pelajar berusia 10 hingga 12 tahun dan kategori Eksekutif bagi pelajar berusia 13 tahun yang dikehendaki mengaplikasi permainan

Kategori Freshmen dinilai menerusi kreativiti kandungan, persembahan, jalan cerita dan interaktiviti manakala Sophomore dan Eksekutif pula berdasarkan fungsi dan tujuan permainan serta nilai hiburan.

Digital Campus menjadi platform golongan belia me­ngembangkan kreativiti dan inovasi menerusi pendidikan digital dan menggunakan pengetahuan berkenaan untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan sebenar.

Digital Campus turut menyediakan landasan lebih luas dengan pengenalan edisi ASEAN yang merentasi empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina untuk menggalakkan pertukaran pendapat dan pendedahan lebih kompetitif.

Bagi pelajar SMK USJ 23 Subang Jaya Muhd Zulkifli Mohd Zin, 16, kemenangannya menerusi Structured Game Award dalam kategori Executive adalah kenangan paling menyeronokkan.

“Pertandingan ini memberi peluang kepada saya menjadi lebih kreatif mencari penyelesaian masalah.

“Minat saya memang dalam pengekodan dan peluang ini sangat bermakna,” katanya yang menghasilkan aplikasi permainan antivirus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:21 AM