GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi di bangunan kerajaan, tempat tumpuan awam dan fasiliti berkepentingan.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Sri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya memandang serius terhadap beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku di tempat asam termasuk di lokasi sensitif dan premis kerajaan baru-baru ini.

"Insiden yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum mengenai tahap keselamatan dan ketenteraman negara.

"Sebagai usaha berterusan memastikan keselamatan awam terpelihara, PDRM sentiasa bersiap siaga dan memperketatkan kawalan keselamatan di tahap tertinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara juga mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM dan petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif ketika menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan semasa yang dikeluarkan.

"Masyarakat diseru supaya terus bekerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa.

"PDRM tidak akan bertolak ansur kepada anasir yang cuba mengancam keselamatan dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terbabit. PDRM juga memberi jaminan keselamatan awam negara berada pada tahap selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:17 PM