KUMPULAN M8 (kanan) bersama kumpulan Common Extract di Ejen Ali Game Jam anjuran Media Prima Digital di Makespace, Quill City Mall.
KUMPULAN M8 (kanan) bersama kumpulan Common Extract di Ejen Ali Game Jam anjuran Media Prima Digital di Makespace, Quill City Mall.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: “Kami hanya tidur sejam antara jam 4 hingga 5 pagi tadi (semalam), manakala selebihnya digunakan untuk mencipta idea dan menyiapkan ‘story line’ sebelum menjadikan idea itu dalam bentuk aplikasi permainan mudah alih.

“Tempoh singkat itu adalah cabaran paling utama yang perlu dihadapi kerana kami terpaksa bekerja dalam tekanan selain memastikan aplikasi itu dapat disiapkan mengikut kriteria ditetapkan,” kata ketua kumpulan M8, Tan Weng Hong, 21, pemenang bagi kategori pelajar dalam pertandingan Ejen Ali Game Jam (Hackhaton) anjuran Media Prima Digital di Makespace, Quill City Mall.

Kumpulan itu yang terdiri daripada tiga pelajar Kolej Universiti KDU dan The One Academy, berusia antara 18 hingga 23 tahun itu membawa pulang geran bernilai RM100,000 bagi membangunkan aplikasi permainan mudah alih berkenaan.

Menurut Tan, selain gembira dengan kemenangan itu, mereka berpuas hati kerana penat lelah bersengkang mata selama 23 jam berbaloi apabila aplikasi permainan mereka berjaya menarik perhatian juri.

Sementara itu, pemenang bagi kategori terbuka dinobatkan kepada kumpulan Common Extract yang juga sebuah syarikat pembangunan permainan dan aplikasi mudah alih dari Johor Bahru, Johor.

Ketua kumpulannya merangkap Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Rob Lee berkata, kaedah ‘Isometric Action Games’ yang digunakan untuk menghasilkan aplikasi permainan rekaan mereka berjaya membawa kelainan sekali gus memenangi pertandingan itu.

“Sesuai dengan watak Ejen Ali iaitu seorang kanak-kanak yang menjadi seorang penyiasat, kami juga memberi penekanan kepada permainan aksi yang menguji pemikiran pemain untuk berlawan,” katanya yang membawa pulang geran bernilai RM100,000.

Ejen Ali adalah siri animasi 3D oleh Primeworks Studios dan WAU Animation terbaru yang bakal ditayangkan di TV3 pada jam 5.30 petang bermula 1 Januari depan.

Sehubungan itu, Media Prima Digital Sdn Bhd melalui Media Prima Labs mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan ini yang menetapkan tempoh 24 jam untuk peserta menyiapkan ‘story line’ aplikasi permainan berkenaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios Sdn Bhd Ahmad Izham Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 9:10 AM