PASUKAN Androsot (Soccer) sedang beraksi.
PASUKAN Androsot (Soccer) sedang beraksi.
ROBOT  Politeknik Malaysia meraih pingat emas bagi Kategori Hurocup (Lift & Carry).
ROBOT Politeknik Malaysia meraih pingat emas bagi Kategori Hurocup (Lift & Carry).
MERAIKAN kejayaan Pasukan Politeknik Malaysia.
MERAIKAN kejayaan Pasukan Politeknik Malaysia.

FATIN FARHANA JAPRE berasa amat bangga dengan sekumpulan pelajar politeknik yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Syabas penulis ucapkan kepada sekumpulan anak muda yang mewakili Malaysia pada Kejohanan 20th Fira (Federation of International Robotics Association) Roboworld Cup Korea di Daejeon, Korea Selatan pada 4 hingga 9 Ogos 2015 yang lalu dan berjaya membawa pulang 15 pingat kejohanan.

Pertandingan kejohanan ini diadakan setiap tahun sebagai platform pertandingan robot soccer serta pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa. Jika tahun ini Korea merupakan tuan rumah bagi pertandingan ini, tahun hadapan pula para peserta akan beraksi di Iran.

15 orang pelajar yang layak mewakili Malaysia ini dipilih melalui pertandingan 8th FIRA Malaysia Cup and Congress yang diadakan di Politeknik Ungku Omar, Perak pada 10 hingga 15 Mei lalu. Ia membabitkan empat buah Politeknik Malaysia iaitu Politeknik Ungku Omar, Seberang Perai, Port Dickson, dan Tuanku Sultanah Bahiyah.

Kesemua pelajar terbabit mengikuti pengajian program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Diploma Mekatronik dan Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan). Mereka menyertai lima kategori yang dipertandingkan iaitu Mirosot, Androsot, ROBosot, Simurosot dan Hurocup.

Tidak disangkal lagi kehebatan dan kemahiran generasi Y negara kita. Mereka berjaya membawa pulang 15 pingat kejohanan dan menandingi peserta dari 10 negara lain yang turut serta seperti Kanada, China, Indonesia, Mexico, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, England dan Iran.

Berikutan itu, penulis menemu bual empat peserta di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya baru-baru ini bagi berkongsi pengalaman mereka semasa beraksi di pertandingan itu. Menurut Rayzal Ahmad Yaacob, 24, dia berasa sedikit tercabar kerana semua pesaingnya hebat-hebat belaka dan dia perlu pandai menyesuaikan diri dengan suasana gelanggang di tempat orang.

“Berkongsi pengalaman saya, di Daejeon, Korea, saya menyertai dua kategori Hurocup (Sprint) dan (Lift and Carry). Ramai pesaing yang hebat lebih lagi dari segi programming robot mereka. Lebih mencabar lagi apabila penganjur mengubah peraturan gelanggang secara tiba-tiba. Secara automatik, kumpulan saya kena mengubah ‘coding’ yang sudah di program dalam komputer riba untuk meneruskan pertandingan.

“Alhamdullilah berkat kerjasama berkumpulan dan tidak cepat melatah, kami berjaya memenangi dua pingat emas dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan. Jika berpeluang, pada tahun hadapan saya mahu menjadi wakil Malaysia lagi untuk beraksi di Iran menggunakan robot yang sama. Saya akan mempertahankan kejohanan yang saya perolehi tahun ini untuk terus membawa nama Malaysia ke persada dunia,” kata pelajar Politeknik Ungku Omar ini.

Menurut Irdzuan Ali Mohamed Seeni Ibrahim, 22, dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang kurang memuaskan selain mendapat peraturan baru dari padapenganjur untuk menukar program secara tiba-tiba.

“Kumpulan saya memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam kategori Androsot (Dribble & Attack), (Soccer) dan (Freekick). Ketika pertandingan ada peserta yang membuat robot ‘custom made’ menyebabkan kami tercabar dari segi pergerakan robot. Tetapi kami berjaya hadapinya dengan mempraktikkan ilmu yang diajar pensyarah semasa di dalam kelas,” kata pelajar Politeknik Ungku Omar ini.

Lain pula bagi Mohamed Zaki Zakaria, 20, yang tidak dapat beraksi di gelanggang selama dua hari kerana bahagian motor robot dan wireless alat kawalan jauh mengalami kerosakan.

“Sepatutnya saya mengawal robot menggunakan joystick play station 4 tetapi terpaksa menggunakan telefon bimbit. Hari ketiga baru saya berpeluang beraksi di gelanggang dalam kategori Robosot, perlawanan sebanyak empat kali. Paling mencabar sekali ketika beradu kehebatan robot dengan peserta dari Taiwan. Ini kerana dari segi programming kami ada sedikit ketinggalan berbanding negara lain.

“Sasaran saya sebenarnya hanya nak bawa pulang satu pingat tetapi saya sendiri masih tidak percaya apabila kami memenangi empat pingat gangsa untuk semua pertandingan yang kami sertai. Pada masa akan datang, saya mahu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang elektronik untuk terus menginovasikan bidang robotik di Malaysia pada mata dunia,” kata pelajar Politeknik Port Dickson ini.

Menurut Mohamad Syafiq Mohd Rafi pula, 20, kumpulannya hampir berputus asa ketika perlawanan menentang peserta dari India kerana sebuah robot mereka mengalami kerosakan teknikal.

“Ketika itu peringkat separuh akhir menentang peserta dari India, tiba-tiba salah sebuah robot kami rosak ketika beraksi. Masa itu, kami rasa memang tiada harapan untuk ke peringkat akhir tetapi dengan bantuan pensyarah, kami sempat membaiki robot kami dan berjaya ke peringkat akhir untuk menentang peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pada peringkat awal perlawanan, kami berjaya menewaskan UKM dengan jaringan gol (3-2) dan pada peringkat akhir dengan jaringan gol (2-1) dalam kategori Mirosot. Ia sekali gus melayakkan kami memenangi pingat emas dalam perlawanan itu. Insya-Allah jika berpeluang, saya ingin belajar lebih lagi mengenai robotik dan bekerja dalam bidang ini,” kata pelajar Politeknik Seberang Prai ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Robot Soccer Politeknik Malaysia, Mejar (K) Mohd Noor Shahudin, beliau tidak menjangka pelajar Politeknik Malaysia mampu membawa pulang 15 pingat kejohanan ke Malaysia pada tahun ini. Justeru dia berharap akan mendapat kelulusan daripada pihak tertentu untuk menjadikan pertandingan peringkat kebangsaan ditukarkan kepada kejohanan peringkat Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 8:29 AM