SYED Kamarulzaman menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan kepada Nurul An Najwah Ramli. FOTO Rohanis Shukri
SYED Kamarulzaman menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan kepada Nurul An Najwah Ramli. FOTO Rohanis Shukri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berusaha sebaiknya ke arah memperkasakan program kemahiran termasuk di di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dengan memantapkan tatakelola dan ketangkasan dalam mengejar arus kemodenan teknologi yang kian rancak.

Pengerusinya Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, di bawah Pelan Strategik Pendidikan MAIWP 2025 antara fokus adalah menjadikan IKB sebuah institusi yang bernilai tinggi dan hasilnya dikembalikan kepada masyarakat bagi mempelopori minat serta kemahiran untuk semua golongan khususnya golongan muda belia.

Beliau berkata, dengan adanya IKB di bawah naungan MAIWP, ia menjadi pemangkin kesejahteraan untuk menaiktarafmasyarakat Islam.

"Seiring dengan Pelan Strategik Pendidikan MAIWP 2025 juga, membuka ruang dan peluang dalam penawaran program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menaiktaraf program sedia ada.

"Setakat ini IKB sudah sampai ke peringkat diploma dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Fesyen dan akan meneruskan peningkatan dalam bidang yang lain pula melalui perjanjian kerjasama yang bakal terjalin.

"Bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Kemahiran di IKB, beberapa aspek perlu diberi penekanan teliti iaitu pembangunan fizikal dan infrastruktur yang mencukupi, penyediaan kemudahan peralatan dan teknologi yang selari dengan kehendak industri serta keperluan sumber manusia yang cekap dan kompeten," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil Institut Kemahiran Baitulmal Kali Ke-30 Tahun 2024 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Syed Kamarulzaman berkata, penurunan minat sesetengah kelompok belia untuk mengikuti bidang kemahiran ini perlu dipandang serius.

"Kita tidak boleh membiarkan golongan muda hari ini hanyut dengan kepercayaan dan tersalah tanggapan bahawa masa depan dapat dicapai sekali pun tanpa ilmu dan kemahiran.

"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai graduan, pendidik dan pihak pengurusan, untuk memulakan strategi dan mencipta tarikan baharu agar pelaksanaannya akan memberi sentuhan dan lonjakan secara maksimum terutama impak dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Bagi mencapai matlamat, kita perlu ada kesepakatan untuk pemerkasaan TVET dengan penggiat utama industri melalui kerjasama pintar dengan institusi kemahiran," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 69 graduan menamatkan pengajian dalam bidang Perkhidmatan dan Penyajian Makanan (PPM), Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian Lelaki (RFPL), Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian Wanita (RFPW), Seni Reka Grafik Komputer (SGK), Teknologi Binaan Bangunan (TBB) danKejuruteraan Elektrik (KJE), dianugerahkan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 7:23 PM