FOTO Mohd Khairul Helmy
FOTO Mohd Khairul Helmy
Sudirman Mohd Tahir

Cuba lari daripada kebiasaan tema yang dipersembahkan, Teater Komedi Seram Anti Dadah: Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak membawa mesej antidadah sekali gus memberikan satu lagi kelainan dalam pementasan teater yang bakal diadakan pada 22 dan 23 Mac ini di Royale Theater Shah Alam.

Mesej yang disampaikan bakal disulami gelak tawa penonton yang hadir apabila teater terbitan Atlas One Events Sdn Bhd itu menampilkan deretan pelawak popular tanah air seperti Ropie, Bell Ngasri, Mamak Putih, Ali Puteh, Abu Mamu, Abang Gee, Lanun dan kumpulan Kiut.

Pengarah pementasan, Hasrol Hisham Mohd Hassan berkata, kehadiran pelawak itu memudahkan kerjanya kerana mereka tahu peranan masing-masing.

“Sama macam pementasan lain, setiap pelakon ada skrip dan karakter. Cuma, saya memberikan kelonggaran kepada mereka untuk ubah asalkan tidak lari daripada jalan cerita. Kalau silap sikit pun tak apa sebab itu realitinya dan buat orang ketawa.

“Bagi saya, menghimpunkan ramai pelawak dalam satu pementasan bukan masalah. Malah, tak timbul pun isu kelam-kabut ketika mengarahkan mereka. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, setiap mereka tahu peranan masing-masing.

“Paling penting, mereka tak ‘makan’ pelakon lain sebaliknya saling memberi dan membantu. Melihat kemampuan setiap pelakon, saya yakin mereka akan berikan persembahan terbaik,” katanya.

Teater itu turut mendapat kerjasama Resdongs Entertainment dan Kelab SUK Selangor melalui KelabSPBT bersama rakan strategik iaitu Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Pemadam Selangor, Pemadam Pulau Pinang serta FUFC The Fighters.

Sementara itu, Pengarah Urusan Atlas One Events Sdn Bhd, Syahrizal Ismail berkata, pemilihan lokasi pementasan berdasarkan tempat perbincangan mereka sebelum ini.

“Sebenarnya pada awal pertemuan kami berbincang di Cheruk Tok Kun dan pertemuan seterusnya di Gombak.

“Jadi timbul idea untuk menamakan teater ini Dari Cheruk Tok Kun ke Gombak sebab cantik juga nama itu.

“Selaku penganjur, saya menjanjikan penonton yang hadir akan berpuas hati dan ketawa hingga keluar air mata,” katanya.

Selain barisan pelawak, teater itu turut mendapat sokongan dua selebriti terkenal yang buat pertama kalinya menjayakan pementasan iaitu penyanyi Azharina Azhar serta kakak penyanyi Ella, Jojie Aminuddin. Turut diperkenalkan penyanyi baru, Dylea.

Teater Komedi Seram Anti Dadah: Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak mengisahkan penduduk Cheruk Tok Kun, Pulau Pinang menerima jemputan mengadakan persembahan boria bagi majlis menyambut sekumpulan delegasi dari Jepun di Gombak, Selangor.

Jadi sepanjang proses latihan, pelbagai masalah timbul memandangkan Tukang Karut mereka penagih dadah yang ada masalah disiplin. Pada masa sama, tempat latihan sering diganggu dengan kehadiran makhluk asing.

Tiket menyaksikan teater itu dijual pada harga RM60 (tiket biasa) dan RM120 bagi tiket VIP yang disertakan dengan baju kemeja-T istimewa.

Pembelian boleh dibuat dengan menghubungi talian 010 7616844 dan 012 5618434 atau ajukan pertanyaan ke laman www.atlasonevents.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:05 PM