KEHADIRAN pocong mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Melayu.
KEHADIRAN pocong mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Melayu.
PERBINCANGAN penduduk kampung bagi menangani misteri kemunculan pocong.
PERBINCANGAN penduduk kampung bagi menangani misteri kemunculan pocong.
BARISAN pelakon teater ini.
BARISAN pelakon teater ini.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Kemunculan hantu pocong di Kampung Melayu, Air Itam Pulau Pinang sekitar 2011 menggemparkan penduduk setempat sehingga menjadi bualan ramai.

Pelbagai spekulasi dibangkitkan apabila dua jenazah hilang dalam sekelip mata sebelum sempat dikebumikan sehingga keadaan kampung terbabit menjadi huru-hara dan penduduk hidup dalam ketakutan.

Itulah intipati dan keunikan pementasan teater komedi seram Pocong Kampung Melayu yang dipentaskan Persatuan Teater Resdong’s Pulau Pinang di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Karya arahan Ahmad Shazli Hasim atau Shazli Ekzos yang juga pengasas Persatuan Teater Resdong’s Pulau Pinang itu berjaya mencetuskan suasana seram. Apatah lagi apabila ‘hantu pocong’ tiba-tiba muncul di tempat duduk penonton.

Pementasan yang mendapat sambutan hangat ini dijayakan Abu Mamu, Mantaro, Awie Resdung’s, Mie Oss, Mamak Puteh, Nurul Fathin, Fairul Nizam, Lanun Resdong’s, Acan dan Shazli sendiri.

Naskhah ini bermula dengan kehilangan jenazah yang kononnya berpunca daripada kucing hitam sehingga muncul hantu pocong yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini sama ada ia benar-benar wujud atau sebaliknya.

Telatah lucu barisan pelakon wajar dipuji berjaya mencuit hati penonton sehingga ada yang ketawa terbahak-bahak. Bahkan dewan meriah dengan tepukan gemuruh dan hilai tawa penonton sehingga akhir pementasan.

Bagi Shazli, ilham untuk menghasilkan pementasan teater ini datang apabila memikirkan misteri yang berlaku di Kampung Melayu suatu ketika dulu. Perbincangan seterusnya dilakukan dengan Abu Mamu yang bertindak selaku penulis skrip.

“Abu berjaya mendapatkan apa yang saya mahu. Alhamdulillah pementasan ini mendapat sambutan mengalakkan seterusnya mencipta sejarah tersendiri buat Persatuan Teater Resdong’s apabila dewan penuh penonton sepanjang dua malam pementasan.

“Kami turut selitkan nasihat apabila ramai percaya kewujudan hantu pocong ada kaitan dengan misteri kehilangan jenazah yang berpunca daripada amalan ilmu hitam. Apa sekalipun masalah kita perlu memohon pertolongan Allah SWT, bukan dengan makhluk lain.

“Saya bersyukur kerana genre seram komedi masih menjadi pilihan peminat seni teater di Pulau Pinang. InsyaAllah, kami akan tampil dengan lebih banyak karya bermutu se lepas ini,” katanya.

Sementara itu, Mantaro atau nama sebenarnya, Sheikh Nor Azman Sheikh Azmi berkata, melakonkan watak pocong tanpa dialog sangat mencabar.

“Saya kena banyak guna tenaga kerana banyak bergerak di atas pentas.

“Walaupun menjadi bahan usikan pelakon lain hingga saya tidak dapat menahan ketawa, saya seronok bergandingan dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:48 AM