MAKANAN pejal tidak boleh diberikan kepada bayi sebelum berusia enam bulan.
MAKANAN pejal tidak boleh diberikan kepada bayi sebelum berusia enam bulan.
PELBAGAI risiko kesihatan boleh terjadi sekiranya  bayi diberi makanan pejal sebelum berusia enam bulan.
PELBAGAI risiko kesihatan boleh terjadi sekiranya bayi diberi makanan pejal sebelum berusia enam bulan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

“Dulu lepas saja lahir, mak dah beri kau makan, taklah menunggu sampai enam bulan baru boleh bagi makan, tengok sekarang sihat saja kamu adik-beradik.”

“Eh, anak kau menangis tak berhenti ini, mesti lapar nak makan, bagi saja makan sikit mesti dia berhenti menangis.”

Situasi dan dialog seperti itu pasti membuatkan si ibu mahupun si bapa yang baru menimang cahaya mata tersepit dan buntu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani keadaan terbabit.

Lebih menguji, apabila ada saja tangan yang dengan beraninya menyuapkan anak anda pelbagai jenis makanan tanpa bertanya terlebih dulu dengan alasan kuantitinya hanya sedikit untuk dirasa.

Bukan mahu tunjuk pandai kepada golongan yang lebih berusia terutama kedua-dua ibu bapa yang ternyata sudah mempunyai pengalaman luas dalam menjaga dan membesarkan anak-anak.

Namun, pastinya sesiapa saja mahu berikan yang terbaik terutama berkaitan pemberian makanan kepada si kecil tersayang.

Menurut perunding kanak-kanak, Dr Ziyad Ahmad, kelahiran seorang bayi sehingga menjangkau ke usia dua tahun adalah satu tempoh yang kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan optimum, kesihatan dan perkembangan tingkah laku.

“Ia puncak usia apabila tumbesaran terbantut, kekurangan nutrien dan penyakit lazim seperti cirit-birit mudah berlaku.

“Untuk pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak di Malaysia, semua bayi perlu disusukan dengan susu ibu saja bermula detik kelahiran sehingga berusia enam bulan,” katanya.

Menurutnya, makanan pelengkap perlu diperkenalkan pada usia enam bulan sementara penyusuan susu ibu diteruskan sehingga anak berusia dua tahun.

“Pemberian makanan kepada bayi seharusnya tepat pada masa, mencukupi, selamat dan sesuai untuk dimakan.

“Pelbagai risiko penyakit terutama berkaitan usus boleh terjadi sekiranya pemberian makanan pejal diberikan dalam tempoh terlalu awal,” katanya.

Makanan pejal tidak boleh diberikan sebelum bayi berusia enam bulan kerana:

- Bayi belum dapat mengunyah dan menggigit dengan berkesan.

- Makanan yang paling seimbang dan lengkap ialah susu badan.

- Meningkatkan risiko alahan makanan dan jangkitan kuman.

- Usus belum matang dan terdapat risiko kecederaan atau usus tersumbat.

- Buah pinggang belum cukup matang untuk mengendalikan beban berlebihan dengan makanan pejal.

Menurut Dr Ziyad, selepas berusia enam bulan, bayi memerlukan makanan pejal kerana susu badan saja tidak mencukupi untuk keperluan badan.

“Bayi yang tidak diberi makanan pejal selepas enam bulan akan mengalami kekurangan zat makanan terutama zat besi dan ia menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan minda bayi.

“Apabila bayi berusia enam bulan, makanan pejal harus dimulakan dan ditingkatkan secara perlahan-lahan. Dalam beberapa minggu, makanan dengan rasa, tekstur, warna dan suhu yang berlainan boleh diperkenalkan,” katanya.

Tambahnya, apabila bayi mengambil lebih banyak makanan pejal, pengambilan susu juga akan berkurangan. Pada tahap ini, bayi perlu diberi sedikit ikan, ayam atau sumber protein lain untuk menggantikan protein dalam susu.

“Apa yang penting, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan tiada tulang dalam makanan bayi.

“Pada usia enam hingga sembilan bulan, makanan lebih berketul boleh dimulakan dan apabila bayi sudah boleh duduk, berikan makanan yang boleh dipegang sendiri seperti biskut atau buah-buahan yang dipotong kecil seperti tembikai dan pisang,” ujarnya.

Bagi menangani situasi sekiranya ada individu lain yang mempersoalkan pemberian makanan selepas enam bulan:

- Hadapi dengan tenang dan jangan mudah marah.

- Terangkan secara ringkas dan jangan beri penjelasan terlalu panjang.

- Jangan beri ruang untuk individu lain menyuap atau memberi anak anda makan tanpa pengetahuan anda.

- Lakukan perbincangan bersama pasangan dan doktor bagi mendapatkan jalan terbaik.

- Apa yang penting, jangan terlalu tunjuk pandai dan jelaskan pendirian anda, pasti lama-kelamaan mereka akan faham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 11:22 AM