Sekatan jalan raya di Jalan Said Abdul Aziz, Melaka Tengah bermula 11 malam hingga 4.30 pagi tadi. FOTO Zuhairi Zuber
Sekatan jalan raya di Jalan Said Abdul Aziz, Melaka Tengah bermula 11 malam hingga 4.30 pagi tadi. FOTO Zuhairi Zuber
Oleh Zairee Mohd Yasak


Melaka: Lelaki disyaki mabuk ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis trafik yang melakukan pemeriksaan terhadapnya di sekatan jalan raya di Jalan Said Abdul Aziz, Melaka Tengah, 3.30 pagi tadi.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Asisten Superintendan Yahya Manan berkata, lelaki berusia awal 20-an itu antara empat ditahan selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

"Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol dan dia diarahkan ke IPD Melaka Tengah untuk menjalani ujian lanjut.

"Bagaimanapun, dia enggan memberikan kerjasama sebelum mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota bertugas dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 11 malam hingga 4.30 pagi itu, pihaknya mengeluarkan 175 saman pelbagai kesalahan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 10:49 PM