GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tiga lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk termasuk warga emas antara 17 individu ditahan dalam operasi bersepadu sekitar bandar ini sempena ambang tahun baharu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melalui Op Mabuk.

Katanya, tangkapan itu membabitkan individu berusia antara 40 hingga 61 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

A Asmadi berkata, bagi 14 tangkapan selebihnya, lapan daripadanya ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine, morfin, serta ganja selain tangkapan terhadap enam orang kena saman (OKS) dilakukan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

Menurutnya, 14 tangkapan selebihnya itu dibuat menerusi Op Bersepadu Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

"Secara keseluruhan, operasi ini berhasil mengeluarkan 115 saman atas pelbagai kesalahan, membabitkan pemeriksaan terhadap 81 individu dan 74 kenderaan.

"Bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, mereka disiasat mengikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara kesalahan berkaitan dadah terbabit disiasat mengikut mengikut Sekyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Manakala enam OKS yang ditangkap disiasat mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 7:49 PM