Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kulaijaya: Seramai 250 orang terdiri daripada pegawai kanan polis dan anggota lain-lain pangkat di Johor dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan dari awal Januari sehingga Oktober lalu.

Manakala, jumlah pegawai dan anggota yang masih ditahan kerja seramai 47 dan 24 orang masih digantung kerja.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan usaha untuk menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa setiap lapisan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya lebih bertanggungjawab, amanah, jujur serta ikhlas dalam melaksanakan tugas.

"Satu jabatan baru iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah ditubuhkan pada Julai lalu bagi tujuan mempertingkatkan keberkesanan tindakan penyeliaan, penguatkuasaan, pemulihan dalam menangani salah laku disiplin di kalangan pegawai, anggota dan pegawai awam.

"Saya menyeru semua pegawai dan anggota supaya sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni ketika bertugas terutamanya menolak dan terus membenci rasuah," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Kempen Tolak Rasuah Peringkat Kontinjen Johor 2014 di Ibu Pejabat Polis Kulaijaya di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 12:29 PM