Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kulaijaya: Enam lelaki dan seorang wanita ditahan polis Khamis lalu selepas disyaki terbabit dalam 68 kes samun membabitkan warga asing di sekitar daerah ini dan wilayah Iskandar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 30 tahun itu turut didapati positif heroin dalam ujian saringan awal air kencing.

"Polis bertindak atas maklumat orang awam berhubung kes samun jalanan di daerah ini dan sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki dua lelaki ditahan di kawasan Senai di sini.

"Hasil soal siasat terhadap dua lelaki itu, polis berjaya menahan lima lagi individu termasuk seorang wanita di sebuah rumah pada hari yang sama," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kukaijaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta terbabit, 29 telefon bimbit, seunit komputer riba, dua pemain cakera padat, parang serta wang tunai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 4:44 PM