Lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 40 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya. FOTO GHAZALI KORI
Lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 40 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bapa kepada dua anak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 40 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 44 tahun mengaku salah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Mengikut pertuduhan satu hingga empat, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan di daerah ini antara Januari 2023 hingga Disember 2023.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 376 (3) KK, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) KK.

Selain itu, tertuduh dipenjara selama dua tahun bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.

Mahkamah kemudian mengarahkan hukuman penjara bagi setiap pertuduhan berjalan berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 27 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh hanya dikenakan 24 sebatan memandangkan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Intan Nor Hilwani Mat Rifinmanakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 3:46 PM