SKRTEL (tengah) memijak kaki De Gea ketika babak akhir perlawanan.
SKRTEL (tengah) memijak kaki De Gea ketika babak akhir perlawanan.

London: Pertahanan Liverpool, Martin Skrtel didakwa dengan salah laku oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kelmarin selepas bertembung dengan penjaga gol Manchester United, David de Gea.

Skrtel memijak kaki kanan De Gea apabila dia cuba merebut bola secara agresif pada saat akhir masa kecederaan ketika United menang 2-1 di Anfield, Ahad lalu.

FA menyebut dalam satu kenyataan insiden itu tidak dilihat pegawai perlawanan namun dapat dirakam dalam video.

Pertahanan tengah Slovakia itu diberi masa hingga lewat semalam untuk membalas pertuduhan itu.

Jika didapati bersalah, Skrtel akan berdepan penggantungan tiga perlawanan menyebabkannya tidak boleh diturunkan bagi pertemuan Liga Perdana dengan Arsenal dan Newcastle serta ulangan suku akhir Piala FA menentang Blackburn.

Reds sudah terpaksa melupakan khidmat kapten Steven Gerrard yang dibuang padang kurang seminit selepas masuk sebagai pemain gantian pada awal babak kedua kerana memijak pemain United, Ander Herrera.

Kekalahan itu menyebabkan Liverpool ketinggalan lima mata di belakang musuh utama United dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat teratas Liga Perdana. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:58 AM