ENCIK Mimpi berharap single terbarunya diterima peminat.
ENCIK Mimpi berharap single terbarunya diterima peminat.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Orang ramai dapat menerima penampilan Bandi Amuk yang bertopeng ketika menjayakan persembahan.

Namun, penampilan itu hanya di atas pentas dan sekiranya tidak terikat dengan aktiviti seni, Bandi tidak akan memakai topeng.

Berbeza pula dengan penyanyi yang memperkenalkan dirinya sebagai Encik Mimpi apabila tetap memakai topeng apabila diundang berkongsi pengalaman akademiknya dengan pelajar sekolah dan universiti tempatan.

Pemilik nama sebenar Mohd Azam Zamri, 27, yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Binaan dari sebuah universiti di Jepun ini mengakui tidak kekok dengan penampilannya ini.

“Selain nyanyian saya aktif berniaga biskut jenama sendiri yang mendapat sambutan baik daripada pembeli. Malah saya turut dilantik menjadi duta beberapa produk.

“Alhamdulillah semuanya berjaya dan menjadi inspirasi kepada banyak pihak. Inilah antara sebab saya diundang berkongsi pengalaman dan meniup semangat pelajar sekolah dan universiti.

“Seperti yang diketahui topeng adalah identiti saya. Sama ada muncul di pentas nyanyian atau di mana-mana majlis rasmi saya pasti bertopeng.

“Setakat ini masyarakat boleh terima identiti saya dan ia bukanlah masalah kerana saya dikenali sebagai Encik Mimpi,” katanya yang mencipta nama menerusi lagu Rindukanlah.

Menurutnya lagi, undangan ke pusat pengajian tinggi satu penghormatan besar kerana jarang artis diminta berkongsi pengalaman dalam bidang akademik.

“Saya banyak beri tip kepada pelajar bagaimana nak berjaya dalam pelajaran.

“Fokus saya masih lagi pada bidang nyanyian dan bisnes. Memenuhi undangan sekolah dan universiti hanya satu perkongsian buat mereka yang memerlukan.

“Selain itu, ia turut menjadi cabang rezeki baru saya,” katanya.

Enggan buka mulut

Selepas Rindukanlah, nama Encik Mimpi agak tenggelam. Bahkan lagunya selepas itu, Selamat Malam Cinta juga gagal mendapat tempat di hati peminat.

Ditanya adakah situasi itu berlaku kerana masalahnya dengan syarikat Indigital, Encik Mimpi enggan memberi sebarang komen sebaliknya memilih jalan selamat dengan mengunci mulut.

“Indigital masih lagi mengendalikan urusan promosi dan pemasaran digital lagu saya. Pun begitu tidak dinafikan memang ada masalah antara mereka dengan komposer lagu saya.

“Apapun saya tak boleh mengulas lanjut dan berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik. Apatah lagi saya senang bekerjasama dengan Indigital.

“Fokus saya sekarang adalah pada single terbaru berjudul Hentikan Rindu yang sudah pun dilancarkan. Ia kesinambungan pada lagu Rindukanlah dan diharap peminat suka dengan lagu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:39 PM