BANDI Amuk
BANDI Amuk
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Bandi Amuk yang kini menyertai Gegar Vaganza ke-8 (GV8) menolak dakwaan sengaja mencari publisiti murahan apabila menyatakan hasrat membuka topeng sekiranya mara ke final.

Bandi, 57, berkata, perkara ini sudah lama difikirkan terutamanya apabila imej bertopeng membataskan peluangnya terbabit dalam beberapa projek seni.

"Untuk apa saya perlu sengaja reka publisiti seperti ini sedangkan saya sudah 40 tahun dalam industri muzik dan mempunyai peminat tersendiri.

"Cuma saya rasa pada usia begini, banyak benda yang datang tapi tersekat. Sepanjang karier selama 23 tahun dengan Amuk, ada benda-benda yang sepatutnya saya buat saya terpaksa tunggu kerana topeng. Ada juga yang tawarkan saya berlakon drama tapi saya tolak," katanya kepada Harian Metro. Menurutnya, beberapa tahun lalu dia tampil membintangi teater Wira Samudera di Stadium Pasir Gudang dan peminat tidak menyedarinya.

"Saya perjudikan nasib dengan buka topeng. Jarak penonton yang jauh dari pentas yang dibina di tengah stadium buatkan orang tak perasan saya," katanya.

Terdahulu, Bandi yang ditemui selepas mengadakan persembahan pada Konsert Minggu Pertama GV menyatakan hasratnya membuka topeng sekiranya mara ke final.

Dia turut mengakui sebahagian besar peminat sudah tahu siapa sebenarnya Bandi Amuk.

"Cuma saya belum sukarela untuk buka topeng depan orang ramai secara langsung dalam program. Namun, sekiranya ditakdirkan saya masuk final dan berada di kedudukan pertama hingga ketiga, kemungkinan besar saya akan buka topeng.

"Saya tak sasarkan juara tapi kalau betul berlaku, kiranya Allah sayangkan saya. Itupun kalau ada rezeki. Kalau tiada tak mengapa. Saya cuba buat yang terbaik," katanya.

Menerusi persembahan Ahad lalu, Bandi yang membawakan lagu Akar Dan Bumi memperoleh markah 71 peratus dan menduduki tangga ketiga daripada 13 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 9:13 PM