Forteen beraksi tanpa Izzue Islam yang kini berada di Korea Selatan.
Forteen beraksi tanpa Izzue Islam yang kini berada di Korea Selatan.
Oleh Michelle Gun


Shah Alam:Lebih 5,000 penonton membanjiri Konsert Gempak Santai Harian Metro (HM) yang berlangsung di i-City, di sini sebentar tadi.

Dianjurkan sebagai tanda terima kasih kepada pembaca setia akhbar ini, konsert menarik itu menampilkan persembahan tujuh artis popular tanah air.

Konsert yang bermula jam 9 malam itu membuka tirai dengan penyampaian cenderahati HM kepada penonton oleh Azrul Raja Lawak yang juga selaku pengacara. Dia kemudian mendendangkan lagu Putih Putih Melati diikuti Seandainya yang dicipta khas bagi memperingati tragedi kehilangan pesawat MH370.

Artis lain yang turut memeriahkan pentas adalah Aisyah Aziz, Forteen, Anis Aneesa, Indah Ruhaila, Encik Mimpi dan Sixth Sense.

Konsert menjadi gamat apabila Anis mengajak penonton untuk menari bersamanya dalam lagu Goyang Inul. Dia turut mendendangkan Humko Humise Chura Lo diikuti Dialah Kekasih.

Forteen yang mendapat tepukan paling gemuruh tampil dengan tiga lagu, Tidak Pernah Berjumpa, Dikau dan Kita. Sixth Sense pula menyanyikan Semanisnya Cinta, Penerang Hati dan Sempurnakanku manakala Encik Mimpi menyampaikan lagu Rindukanlah serta Ayuh Tinggalkan Dia.

Terdahulu sebelum konsert bermula, anggota Forteen, Sixth Sense serta Encik Mimpi sempat melawat lokasi menarik di i-City seperti Red Carpet, Typhoon dan Submarine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 12:01 AM