GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 14 waris si mati di Limbang, di utara Sarawak hampa apabila mereka gagal mendapatkan batu nisan yang ditempah daripada sebuah syarikat.

Ia berikutan wang deposit untuk membuat batu nisan itu diseleweng oleh seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang bekerja dengan syarikat pembuat baru nisan terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, setakat ini polis sudah membuka 14 kertas siasatan berhubung kes penipuan pembelian batu nisan itu.

"Wanita itu mengambil deposit daripada waris yang membuat tempahan baru nisan tetapi tidak menyerahkan wang itu kepada majikannya sebaliknya mengambil untuk kegunaannya sendiri.

"Berikutan itu wanita terbabit ditahan dan akan didakwa kerana melakukan penipuan dan pecah amanah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

DATUK Mohd Azman Ahmad Sapri ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sidang Media Sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Pusat Media IPK Sarawak, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
DATUK Mohd Azman Ahmad Sapri ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sidang Media Sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Pusat Media IPK Sarawak, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Beliau berkata, penipuan pembelian batu nisan itu antara 1,465 kes yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sejak 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Menurutnya, secara keseluruhan kes jenayah komersil di Sarawak dalam tempoh enam bulan itu menyebabkan kerugian sebanyak RM60 juta.

Daripada jumlah itu, penipuan e-Dagang sebanyak 279 kes membabitkan kerugian sebanyak RM2.06 juta; 165 kes penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian sebanyak RM3.9 juta; pinjaman tidak wujud sebanyak 154 kes (RM1 juta); penipuan pelaburan sebanyak 115 kes (RM12.4 juta) dan phone scam sebanyak 111 kes (RM8 juta).

Sementara itu katanya, polis Sarawak mengenal pasti 2,354 akaun bank menjadi keldai akaun di negeri ini dengan444 pemegang akaun sudah ditahan dan didakwa di mahkamah antara Januari dan Jun tahun ini.

Mohd Azman berkata, berdasarkan siasatan, pemegang akaun dijanjikan ganjaran antara RM50 dan RM1,000 untuk menyerahkan akaun bank mereka kepada sindiket.

"Pemegang akaun keldai juga mendakwa mereka tidak tahu bagaimana akaun mereka digunakan sehinggalah mereka ditahan polis.

"Sindiket itu akan menggunakan pelbagai cara untuk memikat bakal pemegang keldai akaun termasuk dengan menawarkan kerja sambilan dengan prospek memperoleh komisen," katanya.

Menurutnya lagi, modus operandi sindiket itu biasanya menyasarkan graduan baharu, suri rumah, pesara dan penganggur yang memerlukan wang tunai yang cepat dan mudah.

Justeru katanya, orang ramai tidak harus menerima sebarang tawaran pekerjaan yang memerlukan mereka menyerahkan akaun bank dan kad ATM.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menerima tawaran daripada mana-mana individu yang ingin menggunakan akaun bank anda untuk menerima dan menghantar wang.

"Kesalahan berkaitan keldai akaun boleh didakwamengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat; Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana secara tidak jujur ​​menerima harta curi; Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana secara tidak jujur ​​atau curang membantu dalam penyingkiran atau penyembunyian balasan; atau Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 2:25 PM